ANKARA – Turkiye mungkin memasuki Israel seperti dilakukan pada masa lalu di Libya dan Nagorno-Karabakh, kata Presiden Tayyip Erdogan.
Pengkritik tegar serangan Israel di Gaza itu bagaimanapun tidak menyatakan bentuk campur tangan yang dicadangkannya.
“Kita mesti kuat supaya Israel tidak boleh melakukan perkara yang tidak masuk akal ini kepada Palestin. Sama seperti kami memasuki Karabakh, sama seperti kami memasuki Libya, kami mungkin melakukan perkara yang serupa dengan mereka.
“Tiada sebab mengapa kita tidak boleh melakukan ini… kita mesti kuat supaya kita boleh mengambil langkah ini,” kata Erdogan dalam ucapan pada mesyuarat Parti AK yang disiarkan di televisyen dari Rize.
Pada 2020, Turkiye menghantar anggota tentera ke Libya untuk menyokong ‘Government of National Accord of Libya’ yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Perdana Menteri Libya Abdulhamid al-Dbeibah, yang mengetuai Kerajaan Perpaduan Negara di Tripoli, disokong oleh Turkiye.
Turkiye telah menafikan sebarang peranan langsung dalam operasi ketenteraan Azerbaijan di Nagorno-Karabakh, tetapi berkata tahun lepas ia menggunakan “semua cara”, termasuk latihan ketenteraan dan pemodenan, untuk menyokong sekutu rapatnya
