PN semakin relevan, diyakini

KUALA LUMPUR 8 Julai – Kejayaan Perikatan Nasional (PN) mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang turut meraih majoriti lebih tinggi membuktikan gabungan parti berkenaan semakin menjadi pilihan pengundi Melayu Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata PN menjadi semakin relevan dengan suara rakyat ketika ini dan masa depan serta bakal mengambil alih UMNO.

“Suara UMNO sudah tiada, lesu dan lenyap. PN juga semakin diyakini dan dipercayai pengundi Cina, India dan Bumiputera lain,” katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Pada PRK itu, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi selepas memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.

Razali berkata, kemenangan itu sebagai isyarat kerajaan dipimpin Anwar Ibrahim semakin menekan rakyat dengan kos sara hidup.

“Alhamdulillah, keputusan rakyat membolehkan beliau (Abidin) meneruskan legasi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

“PH juga dilihat tidak lagi relevan di kaca mata rakyat dan terus gagal merampas DUN yang dulunya dikuasai PKR selama tiga penggal,” katanya.

Katanya, rakyat dan pengundi di enam kerusi Parlimen dan satu DUN di Selangor, Perak, Kelantan dan Labuan yang sebelum ini diwakili pemimpin Bersatu yang sudah digugurkan keahlian mereka, kini tidak sabar menanti kekosongan kerusi itu diumumkan.

“Jangan buang masa rakyat, hormatilah rakyat, kembalikan hak pengundi semula untuk menentukan wakil rakyat baharu mereka yang lebih berprinsip,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment