6 ahli Parlimen yakin kerusi mereka kekal

KUALA LUMPUR 3 Julai – Enam Ahli Parlimen yang keahlian masing-masing terhenti daripada Bersatu yakin kerusi masing-masing tidak akan dikosongkan berdasarkan mereka tidak pernah meninggalkan atau berhenti menjadi ahli parti itu.

Ahli Parlimen Labuan,  Dr Suhaili Abdul Rahman yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan itu berkata, mereka dipecat daripada Bersatu dan nama mereka dibuang daripada sistem keahlian parti berkenaan.

“Ini jelas membuktikan tiada unsur kami meninggalkan Bersatu atau melompat ke parti lain yang boleh meletakkan kami di Perkara 49(A) Perlembagaan Persekutuan.

“Kekosongan kerusi tidak akan berlaku memandangkan pindaan perlembagaan Bersatu hanya diluluskan pada 1 April lalu, selepas kami membuat keputusan menyokong Kerajaan Madani diterajui Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim.

Kami beranggapan, Perlembagaan Bersatu yang dipinda dengan niat jahat untuk memastikan kami dijadikan kambing hitam atau dianiaya hanya kerana memilih rakyat berbanding terus menyokong pucuk pimpinan (Bersatu),” katanya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang);  Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang);  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar);  Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang) dan Suhaili.

Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang, Thanks Abdul Rashid Asari.

Suhaili berkata, keputusan menyokong Kerajaan Madani dibuat selepas mengambil kira ketetapan Bersatu enggan bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Persekutuan seperti disarankan Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Beliau berkata, dua pimpinan Bersatu ketika itu membuat keputusan untuk menjadi blok pembangkang tanpa berunding dengan Ahli Parlimen daripada parti itu.

“Itu pun kami bertahan hingga setahun, jaga kawasan tanpa peruntukan… orang minta bantuan, terpaksa kata tiada bantuan. Kami tak boleh berterusan beri alasan tiada peruntukan selama lima tahun berturut-turut.

“Bukan pilihan kami untuk menjadi pembangkang, sebaliknya kepemimpinan parti yang menjadikan kami mangsa keadaan. Maka, kami memilih untuk kembali ke jalan benar demi pengundi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azizi tidak menolak kemungkinan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tak akan berlaku jika keputusan kes saman mencabar pengisytiharan Yang Dipertua DUN Kelantan, memihak kepadanya.

“Masih banyak masa memandangkan tarikh (PRK DUN Nenggiri) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya adalah pada 17 Ogos ini. Mahkamah mungkin boleh membuat keputusan (sebelum 17 Ogos).

“Jika keputusan sebaliknya ekoran status saya sebagai ahli Bebas, saya serahkan kepada Kerajaan Perpaduan untuk membawa nama yang dirasakan perlu atau lebih seusai untuk menggantikan saya,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment