60,000 terkepung, serangan berterusan

GAZA: Serangan dan pengeboman berterusan Israel terhadap daerah Shujaiya di Gaza, yang memasuki hari keempat, menyebabkan 60,000 penduduknya terkepung dengan nyawa mereka terancam.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menganggarkan antara 60,000 hingga 80,000 orang perlu dipindahkan dari Shujaiya sejak pertempuran baru tercetus.

Menurut laporan, puluhan ribu rakyat Palestin melarikan diri dari kawasan kejiranan yang musnah itu, di mana tentera Israel melakukan serbuan dan memerangi pejuang Hamas yang didakwa berada di atas dan terowong bawah tanah.

Tentera Israel melaporkan berlaku pertempuran di tengah Gaza dan selatan Rafah, seminggu selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengisytiharkan ‘fasa sengit’ peperangan hampir berakhir.

Walaupun Khamis lalu tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan, serangan tidak dihentikan, sekali gus menyebabklan nyawa penduduk terancam.

Dalam misi perang menghapuskan Hamas, Netanyahu berkata tentera Israel beroperasi di Rafah, Shujaiya dan di seluruh Semenanjung Gaza yang mana puluhan pengganas dihapuskan setiap hari.

Jurucakap Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Louise Wateridge, berkata semuanya hancur, di mana orang ramai tinggal semula di dalam bangunan kosong yang musnah dibedil, tanpa air, tidak ada sanitasi, tiada makanan.

Di kem pemindahan di Deir al-Balah, ahli farmasi, Sami Hamid berkata, jangkitan kulit semakin meningkat, terutama dalam kalangan kanak-kanak, kerana cuaca panas dan kekurangan air bersih.

 

(Foto UNRWA di Gaza)

Related posts

Leave a Comment