NEW YORK: Bekas Presiden Honduras, Juan Orlando Hernandez dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan didenda USD8 juta oleh hakim Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan mengedar dadah.
Hernandez, presiden bagi tempoh 2014 hingga 2022 sebelum ini menafikan tuduhan terhadapnya dan pada hari pengadilannya pada Rabu, beliau menegaskan tidak bersalah dan “dituduh secara salah dan tidak adil.”
Pada Mac lalu, juri di New York mendapati Hernandez bersalah atas tiga pertuduhan mengedar dadah selepas perbicaraan dua minggu di mahkamah persekutuan Manhattan. Beliau menafikan tuduhan itu.
Hernandez diekstradisi dari Honduras selepas Jabatan Kehakiman AS memfailkan tiga tuduhan pengedaran dadah dan berkaitan senjata api terhadapnya pada 2022.
Pendakwa raya menuduh Hernandez, 55, bersubahat dengan kartel dadah semasa memegang jawatan ketika mereka memindahkan lebih 400 tan kokain melalui Honduras ke AS.
Sebagai pertukaran, pendakwa berkata, Hernandez menerima berjuta-juta dolar dalam bentuk rasuah yang digunakan untuk memacu kebangkitannya dalam politik Honduras.
“Selama bertahun menjawat jawatan, beliau “melindungi dan memberi kekayaan kepada pengedar dadah dalam lingkungan dalamannya,” kata Jabatan Kehakiman.
