KUALA LUMPUR 26 Jun – Pelantikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Ramlan Harun, sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu, disifatkan sebagai melanggar janji reformasi pilihan raya
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendakwa pelantikan Rahman itu jelas bertentangan dengan permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPKP) Pilihan Raya, Reformasi Institusi dan Hak Asasi yang ditubuhkan oleh Parlimen.
Dalam kenyataannya BERSIH mendakwa pelantikan Rahman itu jelas bertentangan dengan permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPKP) Pilihan Raya, Reformasi Institusi dan Hak Asasi yang ditubuhkan oleh Parlimen.
Katanya, lantikan ini tetap diteruskan walaupun Pengerusi JPKP Pilihan Raya, Reformasi Institusi dan Hak Asasi, William Leong, mengeluarkan kenyataan pada 17 Mei lalu bahawa JPKP bersetuju serta bersedia untuk meneliti pelantikan Pengerusi SPR yang baharu.
“Pengumuman lantikan ini bertentangan permintaan JPKP bahawa lantikan itu perlu dijalankan secara terbuka dengan membabitkan Parlimen, sekaligus menafikan peranan Parlimen.
Apa yang lebih merisaukan, proses lantikan ini seolah-olah bercanggah dengan Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa anggota SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja (MRR),” katanya.
Justeru, pihaknya kecewa dengan Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kerana melanggar janji pilihan raya buat kali ketiga, dengan melantik Pengerusi SPR tanpa melalui Jawatankuasa Parlimen.
“Setakat yang kami maklum, tidak ada mesyuarat MRR dalam masa terdekat. Maka persoalannya kepada Perdana Menteri, adakah lantikan ini mendahului MRR? Kami kesal dengan ketiadaan sebarang ketelusan dalam proses lantikan ini,” katanya.
BERSIH bagaimanapun tetap berharap Rahman dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang terbaik dalam memimpin suruhanjaya ini.
“Kami berharap beliau mempunyai iltizam untuk melaksanakan reformasi pilihan raya dan mengekalkan dasar pintu terbuka untuk bertemu dengan pihak berkepentingan daripada pertubuhan masyarakat sivil.
“Pengerusi SPR baharu juga perlu lebih berani dan proaktif untuk memacu agenda reformasi pilihan raya termasuk menjadikan perjalanan pilihan raya lebih adil, khususnya dengan salahguna sumber kerajaan yang berleluasa semasa kempen pilihan raya,” katanya.
BERSIH juga mengingatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), bahawa dalam janji manifesto mereka (Buku Harapan dan PADU) bahawa semua jawatan utama akan disemak melalui Jawatankuasa Parlimen, termasuk Pengerusi SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Gabenor Bank Negara.
Justeru BERSIH akan menghantar memorandum mengandungi tuntutan reformasi pilihan raya yang perlu disegerakan kepada kepimpinan baharu SPR dalam tempoh terdekat selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
“Kami percaya Pengerusi SPR baharu bersedia untuk bertemu dengan kami secara profesional, kerana hal ini akan menjadi ujian litmus sama ada kepimpinan baharu ini cenderung kepada agenda reformasi atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, katanya pengumuman pelantikan Rahman itu datang selepas dua perkembangan yang regresif iaitu pertama, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, menyatakan bahawa Rang Undang-undang (RUU) Akta Perkhidmatan Parlimen akan sekali lagi ditangguhkan ke sesi parlimen yang berikutnya.
Kedua, penggunaan Akta Hasutan untuk menyiasat Mukmin Nantang daripada Borneo Komrad berkenaan pengusiran etnik Bajau Laut.
“Berdasarkan perkembangan ini, Putrajaya mengesahkan penilaian BERSIH awal bulan ini di mana kami memberikan markah “F” untuk reformasi pilihan raya.
“Anwar telah bersiaga untuk memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1993, dan tidak dapat tidak kita pasti akan tertanya, adakah ini saja reformasi yang beliau dapat lakukan selepas persediaan selama 31 tahun?” soalnya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, dalam kenyataan pagi ini memaklumkan Rahman dilantik sebagai Pengerusi SPR yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Mohd Zuki dilaporkan berkata, pelantikan Ramlan itu sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Sukacita dimaklumkan bahawa selaras Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Datuk Seri Ramlan Harun sebagai Pengerusi SPR.
Ramlah berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Tanah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Perumahan dan Bangunan daripada Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau juga memiliki Diploma Pentadbiran Awam, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan memulakan perkhidmatan sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Pelantikan Ramlan sebagai Pengerusi SPR yang baharu adalah bagi menggantikan Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib pada 9 Mei lalu selepas empat tahun mengetuai badan suruhanjaya berkenaan.
Nnnnn
