KUALA LUMPUR 21 Jun – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Dr Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai Pengarah Pilhan Raya BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan berlangsung 6 Julai ini.
Mesyuarat Majlis Kerta Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi juga melantik Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Musa Sheikh Fadzir sebagai Pengarah Operasi dan Ahli MKT, Ahmad Maslan sebagai Ketua War Room.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata UMNO akan menggerakkan sepenuhnya seluruh jentera parti untuk membantu kemenangan calon parti Kerajaan Perpaduan pada PRK itu.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lalu yang memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri lepas, menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros, dengan majoriti 1,563 undi.
Pada 12 Jun, bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin diumumkan sebagai calon Kerajaan Perpaduan dari PKR akan bertanding pada PRK itu.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat MKT itu, Asyraf Wajdi juga memaklumkan bahawa Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos ini.
Pada masa sama katanya, mesyuarat turut menetapkan UMNO di semua peringkat mengambil tanggungjawab membantu kerajaan membumikan dan melaksanakan Dasar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.
Ini bagi memastikan lebih 250,000 tempat pengajian TVET yang disediakan di 1,345 institusi TVET seluruh negara dimanfaatkan dan dapat diisi sepenuhnya oleh anak muda.
“Mesyuarat merasakan agenda TVET yang dipelopori Presiden UMNO (Dr Ahmad Zahid Hamidi) selaku Pengerusi Majlis TVET Negara adalah satu inisiatif yang berimpak besar, yang mampu membantu anak-anak muda yang punya potensi besar dalam pelbagai aspek kemahiran dan vokasional dapat dibela serta diberikan peluang masa depan yang lebih cerah dengan peluang pekerjaan bergaji premium,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO memberikan penghargaan kepada kerajaan yang menyahut cadangan UMNO untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi GIG.
“UMNO akan terus memainkan peranan melalui kepemimpinan yang berada dalam anggota pentadbiran untuk memastikan 1.16 juta pekerja gig dibela dan dilatih melalui pelbagai program TVET ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ melalui Majlis TVET Negara,” katanya.
Nnn
