Ustaz Don ‘petik kitab’ bukan hadis

PUTRAJAYA – Salah faham berkaitan ‘memetik hadis lemah’ didakwa menjadi punca pendakwah bebas Ustaz Don Daniyal Don Biyajid disingkirkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah yang masih berbaki empat episod.

Ustaz Don pada sidang media malam ini menjelaskan beliau tidak menyebut mengenai hadis sebaliknya merujuk kitab Tanqihul Qaul Al Hadith.

Justeru, beliau menafikan dakwaan mengingkari arahan stesen penyiaran terbabit apabila sekali lagi memetik hadis lemah ketika bersiaran di TV1, semalam.

Menerima keputusan itu dengan reda, Ustaz Don bagaimanapun menafikan dia mengingkari arahan stesen penyiaran terbabit apabila sekali lagi memetik hadis lemah ketika bersiaran di TV1, semalam seperti yang didakwa.

“Mereka mendengar hanya daripada satu pihak tanpa menyiasat hingga kenyataan saya dimanipulasi.

“Ketika bersiaran saya tidak sebut langsung mengenai hadis, tetapi saya memetik kitab ditulis oleh Imam An Nawawi Al Bunyan’ı berjudul Tanqihul Qaul Al Hadith yang menghuraikan (Syariah) kitab Lubab Al Hadith.

Beliau orang Melayu (Nusantara) yang menjadi imam Masjidil Haram. Mana mungkin Imam ini menulis perkara salah dan kalau saya memetik kitab berkenaan maksudnya Imam itu juga melakukan kesilapan,” katanya yang reda dengan keputusan itu.

Sidang media di Smoked Kingdom by Don Daniyal itu susulan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman di aplikasi X, yang menyatakan Ustaz Don tidak lagi akan muncul pada program Salam Baitullah.

Ustaz Don menjelaskan, tujuannya memetik kitab itu adalah kerana mahu menggalakkan masyarakat memuliakan guru.

“Saya gunakan perkataan ulama untuk memuliakan guru, berbeza daripada apa yang didakwa. Ini kerana saya beri motivasi kepada orang ramai untuk beramal.

“Kita timbulkan penghormatan kepada guru, sambut dengan selawat, tetapi manipulasi tercetus sebab hanya sekerat sahaja video dilihat, bukan keseluruhan program berdurasi lebih sejam itu,” jelasnya.

Tambahnya, agak mustahil untuknya mengulangi kesilapan sama kerana sudah diberi gadis panduan lebih awal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika mengadakan pertemuan, baru-baru ini.

“Saya baru sahaja dipanggil Jakim dan sudah diberitahu mengenai garis panduan dalam berceramah supaya pendakwah berhati-hati dalam memilih perkataan jangan letak sewenang-wenangnya pada nabi,” tegasnya.

Ustaz Don juga memaklumkan inilah kali pertama beliau memberi penjelasan berhubung kontroversi membabitkan dirinya selepas 14 tahun menjadi penceramah.

“Bukan kali pertama saya berhadapan situasi seumpama ini, tetapi inilah kali pertama saya membuat sidang media untuk menjawab spekulasi.

“Saya bukannya nak keruhkan keadaan, sebaliknya sebagai pendakwah saya perlu membersihkan nama yang sudah tercalar demi kerjaya,” katanya yang tidak mahu kemelut itu berlarutan..

Ustaz Don juga mahu terus berfikiran positif dengan memaafkan semua pihak.

“Saya memaafkan semua orang, sebab malu saya kepada Imam Syafie. Sebab Imam Syafie memaafkan semua orang yang menyebabkannya dipenjara.

“Saya baru sedikit sahaja, direhatkan. Tidak ada terguris di hati kerana saya mengasihi semua umat Nabi Muhammad SAW,” jelasnya.

Terdahulu , Suhaimi membuat pengumuman mengejutkan apabila program Salam Baitullah tidak lagi menggunakan khidmat Ustaz Don sebagai pengacara.

Ini susulan dakwaan mengatakan Ustaz Don berkongsi hadis tanpa sanad atau sumber apabila menyatakan memandang wajah guru lebih baik daripada sedekahkan 1,000 ekor kuda ke jalan Allah.

Sebelum ini, Ustaz Don direhatkan selama seminggu daripada program sama selepas mengupas kisah kekasih pertama Nabi Muhammad yang dikatakan tanpa sokongan dalil sah.

Program bual bicara terbitan RTM itu bersiaran setiap kali musim haji dan edisi kali ini bermula 2 Jun dan berakhir Isnin ini, 17 Jun.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment