PETALING JAYA 13 Jun – Pertuduhan ke atas ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin mengikut Akta Kanak-kanak (AKK) 2001 dan bukan Seksyen 302 Kanun Keseksaan, hari ini mungkin berdasarkan bukti dan keterangan saksi yang diperoleh polis.
Peguam mewakili ibu kanak-kanak autisme itu, Mahmud Jumaat berkata pertuduhan yang dihadapi pasangan suami isteri itu hanya membabitkan pengabaian dan bukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh).
“Ini mungkin berdasarkan bukti yang ada dan berdasarkan keterangan saksi yang dipanggil (polis). Berikutan itu, pihak pendakwaan hari ini membuat keputusan untuk hanya menuduh kedua-duanya mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Pihak pendakwaan membuat keputusan untuk hanya tuduh mengikut AKK. Adakah kemungkinan dituduh bunuh selepas ini, ia kuasa pihak pendakwaan tapi buat masa ini, itulah pertuduhan dibuat ke atas kedua OKT (orang kena tuduh).
“Saya percaya mungkin cukup setakat ini untuk mana-mana pihak buat spekulasi membabitkan mereka dalam kes ini,” katanya di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya di sini, hari ini.
Terdahulu, ibu bapa kepada Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu dengan cara yang boleh menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun itu, mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.
Hakim kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Tiada syarat pasport kerana dokumen perjalanan tertuduh terbabit sudah tamat tempoh.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai ini.
Mahkamah juga memutuskan hanya pihak terbabit prosiding pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, ‘terikat’ dengan ‘gag order’ atau perintah larangan bersuara supaya tidak mengeluarkan kenyataan membabitkan kes berkenaan.
Hakim Dr Syahliza Warnoh, membuat keputusan itu selepas peguam Fahmi Abd Moin mewakili bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari, yang berdepan tuduhan pengabaian berkenaan, memohon orang ramai dikenakan ‘gag order’.
Terdahulu, Fahmi meminta perintah itu supaya masyarakat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kes terbabit kerana boleh membawa kepada subjudis.
“Saya percaya sebelum mereka (ibu bapa Zayn Rayyan) dituduh pagi ini, banyak kenyataan di media sosial dan mereka amat terkesan. Kami minta perintah larangan itu kepada masyarakat umum,” katanya.
Susulan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, menyerahkan permohonan itu kepada budi bicara mahkamah, namun mencadangkan tertuduh turut dihalang membuat sebarang hantaran di media sosial mengenai kes berkenaan.
“Perintah itu terlalu umum, had kebebasan bersuara dinikmati oleh semua orang. Jika berlaku pelanggaran, apakah remedi yang boleh diambil dalam kes ini?
Kalau ‘gag order’, kita ada kumpulan sasaran yang spesifik,” katanya.
Nnnn
