SEPANG 17 April – UMNO disaran mendesak Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul supaya mengisytiharkan enam kerusi Parlimen yang diwakili Bersatu kosong berikutan tindakan mereka mengisytiharkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana UMNO berpeluang menang, terutama di kerusi Parlimen yang parti itu kalah tipis sebelum ini jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan tahun ini.
“Jadi tugas UMNO sekarang dalam kerajaan ialah desak Speaker Dewan Rakyat isytiharkan kerusi-kerusi ini kosong supaya berlaku PRK. Desak dan tekan bersungguh-sungguh,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata, jangkaan UMNO mempunyai peluang itu juga disebabkan mereka akan mendapat bantuan undi penyokong- penyokong Pakatan Harapan (PH) dan inilah masanya untuk UMNO bangkit semula.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menarik perhatian kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang menjangkakan Bersatu boleh menang semua enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) jika PRK diadakan.
“Khairy Jamaluddin (bekas Ketua Pemuda UMNO) kata sekiranya berlaku PRK di tujuh kerusi lompat itu, Bersatu boleh menang semuanya jika ia diadakan pada tahun ini.
“Saya sedikit berbeza pandangan. Saya berpendapat UMNO berpeluang untuk menang, terutama di kerusi-kerusi Parlimen yang kalah tipis,” katanya.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen daripada Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, iaitu Ahli Parlimen Labuan, Dr Suhaili Abdul Rahman; Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor, Abdul Rashid Asari pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar, Amirudin Shari.
Ahmad Fadhli turut berpendapat memandangkan enam kerusi Parlimen terbabit menyaksikan UMNO menduduki tempat kedua dalam keputusan pilihan raya sebelum ini, maka parti itu layak meletakkan calon untuk bertanding jika PRK diadakan.
“Semoga pandangan ini diambil kira,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN daripada Bersatu yang disifatkan sebagai berpaling tadah kerana menyokong pimpinan pihak lawan, sudah tergugur secara automatik serta perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.
Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, dipetik berkata mereka tidak perlu menunggu surat pemecatan, sebaliknya keahlian mereka tergugur selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan parti itu.
Bagaimanapun, ada dalam kalangan ahli Parlimen itu mempertikaikan kenyataan itu dan menegaskan Bersatu atau Razali tidak mempunyai hak mengarahkan mereka terbabit mengosongkan kerusi, sebaliknya hanya Speaker layak berbuat demikian.
Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilaporkan berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan meletak calon bertanding di enam kawasan Parlimen terbabit sekiranya berlaku PRK.
Pengerusi BN dan Presiden UMNO itu dipetik menjelaskan ia berikutan Parlimen Kuala Kangsar, Gua Musang, Labuan, Jeli, Bukit Gantang dan Tanjong Karang adalah kerusi tradisi parti berkenaan.
Nnnn
