BAITULMAQDIS: Kabinet Perang Israel menangguhkan mesyuarat ketiga yang dijadualkan pada Selasa kepada Rabu untuk memutuskan tindak balas terhadap serangan langsung pertama Iran.
Ketua kakitangan tentera Israel, Herzi Halevi berjanji bahawa pelancaran lebih daripada 300 peluru berpandu, peluru berpandu jelajah dan dron dari Iran di wilayah Israel pada malam Sabtu lalu “akan disambut dengan tindak balas”.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.
Pertahanan udara serta tindakan balas Israel serta sekutunya menyebabkan serangan Iran itu tidak mengakibatkan sebarang kematian dan hanya kerosakan kecil saja yang berlaku.
Sementara itu, Menteri Luar Israel, Israel Katz berkata, beliau yang “mengetuai serangan diplomatik” menulis kepada 32 negara untuk meminta mereka mengenakan sekatan ke atas program peluru berpandu Iran dan mengikuti jejak Washington dalam melarang pasukan tentera dominannya, Kor Pengawal Revolusi, sebagai kumpulan pengganas.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen pula berkata, negara itu akan menggunakan sekatan dan bekerjasama dengan sekutunya, untuk terus mengganggu “aktiviti yang mengganggu ketenteraman dan tidak stabil” Iran.
Dalam perkembangan sama, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell menegaskan, selepas sidang video tergempar Menteri-Menteri Luar EU, beberapa negara anggota telah meminta sekatan terhadap Iran diperluaskan dan perkhidmatan diplomatik blok itu akan mula mengusahakan cadangan itu.
Borrell berkata, cadangan itu akan memperluaskan rejim sekatan yang bertujuan untuk menyekat bekalan dron Iran ke Rusia supaya ia juga termasuk penyediaan peluru berpandu dan juga boleh meliputi penghantaran kepada proksi Iran di Timur Tengah.
Nnn
