Annuar sedia pertimbang sertai PRK

BUKIT MERTAJAM 3 April – Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa akan mempertimbangkan secara serius jika mendapat pelawaan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen yang berkemungkinan bakal dikosongkan susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan Perlembagaan Bersatu.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh yang dipecat daripada UMNO dan menyertai Pas itu bagaimanapun tidak akan sesekali melobi untuk dirinya dicalonkan kerana bertentangan prinsip serta amalannya.

“Saya (sebelum ini) berkhidmat selama lapan penggal (sebagai ahli Parlimen) yang saya rasa (tempoh) itu sudah mencukupi, tetapi jika rakyat masih percayakan saya dan mahukan saya bertanding sebagai calon, saya akan mempertimbangkan secara serius.

“Tetapi untuk ke depan (melobi) dan memaksa diri untuk (dicalon atau bertanding) itu bukan cara saya.

“Bagi saya, walaupun tanpa kedudukan politik (sekalipun) saya masih boleh menyumbang (kepada rakyat) dalam pelbagai cara,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Berbuka Puasa bersama ahli serta kepemimpinan MN Zon Utara di sebuah kafe, di sini, malam tadi.

Beliau ditanya sama ada akan kembali semula ke pentas politik dengan menjadi calon sekiranya enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu yang melompat parti dikosongkan seterusnya membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Related posts

Leave a Comment