MELAKA 29 Feb. – Kerajaan Melaka yang memberi fokus kepada 10 bidang industri utama,meletakkan sasaran nilai pelaburan yang diluluskan di negeri ini tahun ini mencecah RM10 bilion, kata Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata bidang industri utama itu meliputi elektrik dan elektronik, automotif, aeroangkasa, minyak dan gas, teknologi boleh diperbaharui, sektor pembuatan halal, bioteknologi, mesin dan peralatan, farmaseutikal dan maritim.
Katanya, sejajar sasaran itu, Melaka Corporation (MCORP) akan membangunkan tiga kawasan perindustrian baharu, iaitu pembangunan MCORP Hi-Tech Park seluas 2,000 hektar, German Tecnology Park (360 hektar) dan Elkay 2.0 (240.68 hektar).
Kerajaan negeri sudah memperoleh kelulusan Kementerian Ekonomi melalui MCORP bagi melaksanakan tiga projek untuk kerja awalan projek fizikal binaan bagi jabatan atau agensi di bawah kementerian itu tahun ini dengan peruntukan pembangunan RM4.4 juta.
“Semua pembangunan perindustrian yang bercirikan teknologi tinggi ini diharap dapat memenuhi dan melengkapi keperluan pelabur untuk terus mengadakan usaha sama dan meneraju pembangunan perindustrian sehingga peringkat global,” katanya pada Malam Industri Melaka, di sini malam tadi.
Ab Rauf berkata, selain penyediaan prasarana fizikal seperti kawasan perindustrian dan kemudahan sokongan industri lain, kerajaan negeri konsisten dalam menambah baik perkhidmatan melalui pemerkasaan peranan Invest Melaka sebagai pusat pemudah cara dan pembangunan pelaburan.
“Invest Melaka adalah induk yang akan menerajui agensi promosi pelaburan (IPA) negeri dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan serta agensi teknikal, sekali gus mencetuskan idea penubuhan Jawatankuasa Sekretariat Melaka Industrial Booster (MIB),” katanya.
Ab Rauf menjelaskan, MIB akan bertindak sebagai First Point Of Contact atau titik perhubungan pertama bagi mentadbir urus berkaitan kemudahan pelaburan di Melaka, sekali gus membolehkan proses permohonan dan urusan pelaburan dilaksanakan lebih teratur dan pantas.
“Ia sekali gus membuka ruang dan peluang kepada pelabur tempatan serta antarabangsa untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi di Melaka,” katanya.
Ab Rauf berkata, kerajaan negeri juga akan membangunkan Malacca Center of Excellence bagi menyokong keperluan industri di samping meningkatkan pembangunan modal insan dalam peluang pekerjaan.
Beliau yakin dengan usaha pembangunan Malacca Center of Excellence, Melaka akan menjadi pusat pembekalan sumber manusia dengan disokong pembangunan Majlis TVET Nasional yang akan ditubuhkan di negeri ini kelak.
Nnn
