Cukai baharu tampung kos khidmat hutang?

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mendakwa kerajaan terpaksa mengenakan pelbagai cukai baharu termasuk kenaikan cukai sedia ada demi menampung kos khidmat hutang (DSC) negara yang semakin meningkat.

Antaranya Cukai Barangan Bernilai Rendah (LVG) 10 peratus bagi jualan dalam talian (e-dagang), Cukai Perkhidmatan Digital (DST) lapan peratus, Cukai Keuntungan Modal (CGT) dan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) masing-masing 10 peratus.

Beliau berkata, keadaan diparahkan dengan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam kepada lapan peratus untuk elektrik dan air, selain caj bulanan untuk pembetungan di bawah Indah Water Konsortium.

Katanya, apa yang memeritkan, rakyat perlu menanggung peningkatan kos dan tidak mustahil akan ada lagi banyak cukai baharu dan kenaikan cukai kerana kerajaan terpaksa membayar DSC.

Presiden MCA itu menegaskan, isu dibangkitkan itu bukan berhasrat menuding jari mana-mana pentadbiran kerajaan sama ada yang terdahulu atau sekarang, sebaliknya perlu ada kesedaran jika ada kelemahan asalkan demi kebaikan rakyat.

Ketika membahaskan Usul Menjunjung Kisah Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini, beliau memberi contoh kenaikan SST dari enam kepada lapan peratus, yang  hanya mampu menanggung 22 peratus daripada kos faedah tahunan sahaja.

“Prinsipal hutang tak dibayar langsung dan ini akan membebankan rakyat dengan kenaikan cukai dan pelbagai cukai baharu bagi berpuluh tahun lagi.

Sebab itu, kerajaan kini ada pelbagai cukai baharu dan kenaikan kadar cukai sedia ada (dan) mungkin akan ada lagi banyak cukai baharu dan kenaikan cukai kerana terpaksa membayar kos DSC,” katanya.

Menyentuh hutang langsung kerajaan, Ka Siong berkata ia bertambah RM485.7 bilion dari RM686.8 bilion pada akhir 2017 kepada RM1,172.5 bilion pada hujung tahun lalu, atau menghampiri RM1.2 trilion.

Pada 2022 hingga 2023, beliau berkata hutang negara bertambah RM92.9 bilion sambil menyuarakan kebimbangan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bertambah dari 50 peratus pada 2017 kepada 60.3 peratus pada 2022 dan 64.3 peratus pada hujung tahun lalu.

“Tidak dinafikan jumlah hutang tambahan akibat daripada tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan kembalikan SST pada 2018 dan kembali kepada subsidi pukal pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), adalah dianggarkan sekitar RM360 bilion untuk tempoh enam tahun kebelakangan ini.

“Kadar faedah bon kerajaan ketika ini ialah sekitar empat peratus setahun, maka bayaran faedah tahunan bagi hutang tambahan RM360 bilion ini adalah sekitar RM14.4 bilion setahun.

“Kerajaan MADANI kini menganggarkan hasil tambahan dari kenaikan SST dari enam kepada lapan peratus mulai 1 Mac ini hanyalah RM3 bilion bagi tahun ini.

“Maksudnya, rakyat jelata terpaksa bayar cukai servis lebih tinggi dua peratus hanya untuk membiayai 21 peratus daripada beban faedah tahunan sahaja bagi hutang tambahan angkara langkah-langkah kerajaan yang memerintah selepas PRU14,” katanya.

Related posts

Leave a Comment