SEPANG 27 Feb. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama barisan Kabinet perlu menonjolkan sifat negarawan dengan menghormati pilihan pengundi terutama di kawasan pembangkang, kata Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris.
Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan juga tidak perlu mengugut dan ‘tarik tali’ kepada pembangkang demi kelangsungan hak lebih 33 juta rakyat.
Justeru katanya, kerajaan tidak seharusnya berdolak dalik, wajib memberikan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) secara adil kepada wakil rakyat termasuk Senator Dewan Negara tanpa syarat dan berat sebelah.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, peruntukan CDF sepatutnya diberi sebagai hak Ahli Parlimen tanpa mengira parti demi kelangsungan hak lebih 33 juta rakyat sebenarnya.
“Apa yang tersirat dalam titah Tuanku Agong (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim) yang cakna keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia?
“Nadi denyut rakyat, susah payah rakyat, keluh kesah rakyat dan kesulitan rakyat itu sangat dirasai Sultan Ibrahim.
“Sebenarnya Kerajaan Perpaduan patut memahami bahawa di bahu 222 Ahli Parlimen itulah sebenarnya harapan lebih 33 juta rakyat yang telah diberikan amanah rakyat,” kata Ahli Dewan Negara itu.
Beliau berkata, kerajaan perlu memahami maksud tersirat titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat semalam secara bersungguh-sungguh.
“Tinggal sahaja amalan tidak adil ini yang bermula di zaman BN dan sekarang PH pula,” kata Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Terengganu itu.
