MELAKA 22 Feb. – Lebih 150,000 pengunjung mengunjungi 11 lokasi pelancongan di Melaka sempena cuti umum Hari Memperingati Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, pada Selasa lalu.
Ketua Menteri, Ab Rauf Yusoh, berkata angka itu diperoleh di semua 11 lokasi pelancongan yang menawarkan kemasukan dan perkhidmatan percuma pada hari berkenaan.
Lokasi itu adalah Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Melaka Wonderland & Themepark, Malaysia Heritage Studio, muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Balai Cerap Al-khawarizmi, lima kelab golf, Muzium Penjara, Taman Laut Melaka dan Taman Tema Air dan Taman Safari di A’ Famosa.
“Saya amat berbangga atas usaha semua dalam menjayakan sambutan pada 20 Februari lalu yang mana bumi bertuah ini menerima seramai hampir 150,000 pengunjung.
Jonker Walk sahaja ketika itu dibanjiri oleh 30,000 pengunjung. Ini satu petanda yang amat positif untuk kita terus menggamit kejayaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Jonker Walk, di sini malam ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Mohd Ali Mohd Rustam.
Turut hadir, Exco Kanan Negeri, Rais Yasin; Exco Pelancong, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Abd Razak Abd Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Roslan Abd Rahman.
Kerajaan Melaka sebelum ini mengumumkan tawaran kepada pelancong yang berkunjung ke negeri itu untuk masuk dan menggunakan kemudahan secara percuma di 11 tarikan pelancongan sempena cuti itu.
Mengenai majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina itu, Ab Rauf berkata, sambutan itu adalah satu manifestasi kepada nilai kesepaduan dan kebersamaan sebagai rakyat Malaysia merangkumi pelbagai agama dan bangsa.
“Kita semua berkongsi di bawah satu payung yang sama iaitu kekeluargaan Malaysia Madani yang amat signifikan dengan unsur keharmonian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Majlis itu katanya memberi peluang untuk menjalinkan hubungan persahabatan dan persaudaraan di antara sesama rakan dan pengunjung yang ingin merasai keharmonian komuniti Jonker Walk dalam sambutan Tahun Baharu Cina di Melaka.
Justeru, beliau menyeru kepada pemimpin dan rakyat untuk sama-sama berganding bahu mengekalkan nilai toleransi, perpaduan dan kerjasama antara kaum bagi meneruskan keharmonian sekali gus memastikan pembangunan negara terus dipacu menujumatlamat mensejahterakan masyarakat.
Nnnn
