KUALA LUMPUR 21 Feb. – Pas mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak tegas terhadap semua ladang ternakan babi di negeri tersebut, sama ada di Tasik Gelugor, Nibong Tebal dan di Bukit Mertajam.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata, tindakan tegas itu termasuklah menutup ladang-ladang ternakan babi yang berterusan mencemar sungai-sungai dan menyebabkan bau busuk di kampung-kampung berdekatan.
“Semua pihak sewajarnya lebih mementingkan kepentingan masyarakat awam, daripada membela penternak-penternak babi tersebut,” kata Pengerusi Lajnah Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (LASPI) itu.
Dalam kenyataannya, beliau turut mempersoal percanggahan kenyataan berhubung punca pencemaran Sungai Air Merah dan Sungai Kulim di Kedah, sama ada akibat pelepasan sisa daripada ternakan itik atau babi.
Ia susulan kenyataan berbeza dikemukakan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dan Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol, pada Ahad dan Isnin lalu.
Dr Mohd Zuhdi, berkata pihaknya cenderung memihak kepada kenyataan Sharifah Zakiah yang memaklumkan pencemaran itu berpunca akibat kegiatan melepaskan sisa ternakan babi, disyaki dari ladang perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang.
Ia, berpandukan beberapa perkara, antaranya dapatan daripada siasatan dilakukan JAS Kedah lebih terperinci dan meyakinkan, selain hasil intipan agensi berkenaan belum didedahkan kepada umum.
JAS Kedah juga sudah meninjau punca pencemaran terbabit menggunakan dron sehingga melihat punca aliran daripada sisa dilepaskan kolam takungan kumbahan ladang ternakan babi.
“Intipan dilakukan JAS Kedah dalam isu pencemaran ini dibuat ketika ia belum dihebohkan, sebaliknya berdasarkan laporan penduduk sekitar, manakala lawatan Fahmi ketika isu ini sudah ‘meletup’, memungkinkan ladang ternakan babi terbabit tidak membuka pengaliran kolam takungan kumbahan mereka ke sungai.
Lazimnya, pihak sering melakukan pencemaran sungai, memilih masa tertentu untuk mengelak kegiatan mereka diketahui umum,” katanya.
Beliau juga mendakwa, rekod kerajaan Pulau Pinang menangani pencemaran sungai disebabkan kumbahan ladang ternakan babi sebelum ini, memang sangat buruk.
“Salah satu kes pencemaran oleh ladang ternakan babi yang sudah berlaku berpuluh tahun yang lalu dan sehingga kini masih belum selesai, iaitu di Sungai Kereh, Tasik Gelugor: di Kampung Jawi, Sungai Bakap, Nibong Tebal,” katanya.
Ahad lalu, media melaporkan Sharifah Zakiah berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu Jumaat lalu, sebelum pegawai penyiasat JAS Cawangan Kulim digerakkan bagi mengesan punca kejadian.
Pemeriksaan lapangan dilakukan pegawai yang penyiasat meliputi kawasan hulu sungai, mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim.
Sharifah Zakiah dipetik berkata, pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan penternakan babi mendapati terdapat beberapa kolam melepaskan efluen ke Sungai Air Merah, yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim.
Bagaimanapun , Fahmi kelmarin, menafikan dakwaan berkenaan, sebaliknya berkata pencemaran di dua sungai di Kedah itu bukan berpunca daripada ladang babi di Sungai Lembu, tetapi disebabkan ternakan itik yang terletak bersebelahan.
Katanya, ia berpandukan hasil siasatan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang bersama JAS dan Majlis Bandaraya Seberang Perai, selain memaklumkan orang ramai tidak perlu bimbang memandangkan ia tidak memberi kesan kepada sumber air dirawat di Pulau Pinang dan Kedah.
