KUALA LUMPUR 20 Feb. – Dr Mahathir Mohamad, 98 masih dalam pengawasan di Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani proses pemulihan akibat jangkitan yang dialaminya.
Jurucakap bekas Perdana Menteri itu turut berkongsi keadaan terkini Dr Mahathir yang dilihat sedang membaca akhbar dan menulis catatan.
Namun, tidak dapat dipastikan bila Dr Mahathir akan dibenarkan keluar sehingga pihak IJN berpuas hati dengan tahap pemulihannya.
“Saya tidak boleh beritahu bila Dr Mahathir dibenarkan keluar, buat masa ini kecuali IJN puas hati dengan tahap pemulihan beliau,” katanya dalam Kumpulan WhatsApp Media bekas Perdana Menteri itu, hari ini.
Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 26 Januari lalu di sini, untuk rawatan jangkitan yang dihidapinya.
Dalam perkembangan yang sama, perkembangan kesihatan Dr Mahathir turut dikongsikan dalam akaun X (Twitter).
Semalam tular di pelbagai platform media sosial, berita dan gambar palsu berkaitan tahap kesihatan Dr Mahathir.
