Sindiket edar dadah tumpas

HULU SELANGOR 10 Feb. – Satu sindiket pengedaran dadah yang dikatakan aktif sejak lima bulan lalu tumpas dan empat lelaki termasuk warga asing ditahan dalam tiga serbuan yang dilakukan sekitar sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, dalam serbuan pertama pukul 6 petang polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dalam sebuah kereta di tempat letak kenderaan sebuah apartment di Bukit Beruntung, di sini.

Beliau berkata, polis merampas 24 paket plastik lut sinar berisi ketulan ganja seberat kira-kira 14 kilogram dalam kereta suspek.

“Seterusnya pasukan serbuan sama menahan tiga lelaki termasuk seorang warga asing berusia 23 hingga 61 tahun yang berada berhampiran sebuah restoran di Bukit Sentosa.

Pada masa sama, sebuah bekas plastik berisi ganja seberat tiga gram dirampas selain menemui sepucuk pistol angin bersama kelopak peluru dalam kenderaan salah seorang suspek,” katanya pasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, hasil tangkapan dan rampasan, salah seorang suspek membawa polis ke sebuah stor apartment di Bukit Beruntung.

“Pemeriksaan kemudian menemui dua paket plastik lut sinar ganja seberat 1.28 kilogram. Semakan mendapati dua suspek masing-masing mempunyai dua rekod lampau dadah dan jenayah.

“Manakala saringan air kencing pula mendapati seorang suspek positif dadah manakala tiga lagi negatif,” katanya.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan dadah berjumlah RM43,710 dan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar daerah Hulu Selangor.

Menurutnya, rampasan keseluruhan ganja seberat 15.280 kilogram ini boleh dibekalkan 30,560 pengguna dalam masa sehari dengan mengambil kira penggunaan harian sebanyak 0.5 gram.

Polis juga menyita kenderaan pacuan empat roda motosikal dan wang tunai RM383 manakala semua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 15 Februari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Nnn

Related posts

Leave a Comment