Tegur UMNO, Hassan sedia dipecat PKR

SEPANG 3 Feb. – Susulan teguran keras Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil hari ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim bersedia dikenakan tindakan pemecatan oleh pimpinan parti.

Katanya, tidak ada kegetaran dan ketakutan di pihaknya atas teguran Menteri Komunikasi itu selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan dan Ketua Penerangan PKR.

Sambil bersikap positif dan bersangka baik atas teguran itu, Hassan berkata, memang wajar Fahmi menegur dengan keras anggota parti yang dianggap telah melakukan kesalahan disiplin kerana bersuara lantang.

“Saya menjadi anggota Parti secara rasmi 46 tahun lalu pada 1978 sebagai anggota Parti Rakyat Malaysia (PRM).

“Sepanjang tempoh lebih empat dekad itu, inilah kali pertama saya ditegur secara keras dan diumumkan secara terbuka di media sosial atas kesalahan menyatakan fikiran dan pandangan politik. Saya tidak berkecil hati.

“Jika saya mempertahankan hak saya untuk bersuara dan menyatakan fikiran maka itu dianggap satu kesalahan oleh Kerajaan Perpaduan maka saya bersedia jika saya dikenakan tindakan pemecatan oleh pimpinan parti,” katanya dalam kenyataan.

Hassan mengulas ‘teguran keras’ Fahmi yang meminta beliau ‘tidak menjaga tepi kain’ parti lain berikutan kenyataannya yang menyentuh Presiden UMNO.

Baru-baru ini, Hassan menyatakan UMNO perlu diterajui muka baharu,  menggantikan Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim yang diakuinya ‘rapuh’ berdepan PRU16.

Berikutan itu, Fahmi ketika bercakap di Kuantan kesal dengan kenyataan itu dan menasihatkan Hassan tidak ‘menjaga tepi kain’ parti lain sebaliknya perlu menghormati rakan parti yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jangan ‘jaga tepi kain’ parti orang lain. Kalau dia hendak suruh saya letak jawatan itu lain, kalau itu Pak Hassan Karim (Hassan) lah.

Tapi jangan komen orang dalam parti lain, ia tidak baiklah, (jadi) saya bagi teguran keras pada Pak Hasan,” katanya selepas Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Felda Bukit Goh..

Fahmi berkata, ramai pihak boleh mengambil kesempatan di atas kenyataan tersebut dan tegasnya teguran boleh dibuat tetapi perlu disampaikan kepada kepemimpinan parti untuk menguruskannya.

“Dalam) perkara ini, kita hormat parti sahabat dan sekiranya ada sebarang teguran, beliau (Hassan) boleh sampaikan kepada pemimpin (untuk) diuruskan dengan baik,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment