Sultan Ibrahim pantau apa berlaku di Johor

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Walaupun dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim memberi jaminan baginda akan selalu pulang ke Johor.

Sambil menyifatkan pelantikan itu tanggungjawab tambahan, bukan kenaikan pangkat, sultan Ibrahim berharap orang Johor tidak melupakan baginda.

“Saya harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal saya selepas ini.

Saya juga akan tinggalkan satu mata dan satu telinga saya di Johor untuk memantau apa yang berlaku di sini. Jangan terkejut, saya tiba-tiba menjelma di mana-mana daerah,” titah baginda.

Menerusi video dimuat naik di laman Instagram Officialsultanibrahim, Sultan Ibrahim menegaskan baginda mewakili Raja-Raja lain dan menjadi Yang di-Pertuan Agong satu panggilan tugas.

“Hak saya untuk berkhidmat. Saya takut, takut juga. Takut tak boleh membawa tugas ini tapi saya akan cuba yang terbaik.

“Pertama sekali, rakyat perlu dilindungi. Lidi sepatah mudah dipatah, secekak tak mudah dipatah. Ingat tu,” titah baginda.

Sultan Ibrahim melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara semalam.

Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lalu, selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 31 Januari 2019.

Related posts

Leave a Comment