Dakwaan rasuah: Iswaran lepas semua jawatan kerajaan, parti

SINGAPURA 18 Jan. –  Seorang ahli politik Singapura, S Iswaran meletak semua jawatan dalam kerajaan dan parti selepas beliau didakwa di mahkamah hari ini dengan 27 pertuduhan termasuk dua kes rasuah.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata, Iswaran meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan sebagai Anggota Parlimen bagi GRC West Coast.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hsien Loong mengesahkan Iswaran sudah meletak jawatan daripada Kabinet dan Parlimen, menerusi surat peletakan jawatan bertarikh 16 Januari, selepas menerima notis rasmi pendakwaan terhadapnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri mengarahkannya bercuti selepas ditahan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) pada Julai 2023 sehingga siasatan selesai dan menghalangnya daripada meninggalkan Singapura.

“Pada 17 Januari, Iswaran memaklumkan kepada saya bahawa beliau akan memulangkan semua wang gaji yang sudah diterima sebagai menteri dan elaun sebagai AP sejak siasatan CPIB bermula pada Julai 2023,” kata kenyataan itu.

Iswaran, berdepan 27 tuduhan kesemuanya, dua daripadanya adalah bagi kesalahan rasuah.

Mahkamah diberitahu, tuduhannya meliputi dua tuduhan rasuah, 24 tuduhan menerima barang daripada seseorang yang terlibat dalam urusan perniagaan bersamanya terdahulu ketika beliau bertugas sebagai penjawat awam dan satu tuduhan kerana mengganggu proses pengadilan

Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa kebanyakan kesalahan yang beliau hadapi melibatkan hartawan Ong Beng Seng, yang telah membawa acara perlumbaan Formula Satu ke Singapura pada 2008.

Pada September 2022, Iswaran didakwa menerima rasuah daripada Ong dalam bentuk hadiah berjumlah sekitar $145,434 sebagai satu langkah untuk memajukan kepentingan perniagaannya dalam urusan berkait satu kontrak antara Grand Prix Singapura (GPSS) dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Iswaran juga didakwa menerima rasuah daripada Ong, hadiah bernilai $20,848.03 pada Disember 2022 bagi memajukan kepentingan perniagaannya dalam urusan berkait satu kontrak antara GPSS dan STB dan satu usulan bagi satu kontrak bersama STB.

Iswaran juga didakwa menerima, sebagai seorang penjawat awam, barang bernilai tinggi dengan nilai keseluruhan mencecah sekitar $218,058.95 dari Ong antara November 2015 dengan Disember 2021.

Iswaran, 61 juga didakwa mengganggu urusan pengadilan pada atau sekitar 25 Mei 2023.

Iswaran berkhidmat sebagai Anggota Parlimen di GRC West Coast sejak 1997. Dia dilantik menjadi menteri penuh di Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 2011 dan memegang jawatan menteri dalam pelbagai kementerian temasuk pendidikan, ehwal dalam negeri serta perhubungan dan penerangan.

Dalam pada itu, PMO mengumumkan mulai hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat akan menjadi menteri penuh dan dilantik sebagai Menteri Pengangkutan dan sebagai Menteri Kedua Kewangan.

Menteri Sekitaran Grace Fu akan memikul tanggungjawab sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.

Nnnnn

(Foto FB Iswaran)

Related posts

Leave a Comment