Shafee diarah bayar tunggakan cukai RM5.5 juta

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan peguam,Muhammad Shafee Abdullah membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah lebih RM5.5 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ia susulan keputusan mahkamah sama pada 15 Disember lalu yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus dalam samannya terhadap peguam itu bagi mendapatkan tunggakan cukai pendapatan bagi Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

Penghakiman terus merujuk kepada penghakiman yang dibuat oleh mahkamah bagi satu pihak terhadap pihak lain tanpa melalui perbicaraan penuh.

Prosiding hari ini ditetapkan bagi menentukan jumlah cukai pendapatan tertunggak yang perlu dibayar oleh peguam berkenaan yang dinamakan selaku defendan.

Dalam prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad memaklumkan bahawa jumlah yang dimuktamadkan perlu dibayar oleh Muhammad Shafee ialah RM5,529,577.70.

Sementara itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili bapanya memberitahu mahkamah, beliau akan mendapatkan arahan lanjut sama ada untuk merayu keputusan mahkamah membenarkan penghakiman terus.

Dalam penghakimannya ketika membenarkan permohonan penghakiman terus itu, Roz Mawar berkata berdasarkan afidavit, Muhammad Shafee tidak mempunyai pembelaan terhadap tuntutan itu dan tiada isu yang memerlukan keterangan saksi pada perbicaraan penuh.

Pada 28 September 2021, LHDN memohon samannya terhadap Muhammad Shafee, yang difailkan pada 6 Mei 2021 diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan defendan gagal membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh ditetapkan.

LHDN mendakwa, peguam itu gagal membayar jumlah cukai pendapatan yang terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan ke atas jumlah yang dikenakan.

Pada 28 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Muhammad Shafee atas dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Pihak pendakwaan yang merayu terhadap keputusan mahkamah itu bagaimanapun menarik balik rayuan berkenaan pada 5 Disember lalu, menjadikan keputusan mahkamah membebaskan Muhammad Shafee adalah kekal.

Related posts

Leave a Comment