Dua Senator baharu angkat sumpah

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengangkat sumpah sebagai Senator Dewan Negara pagi ini.

Turut sama mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar adalah Timbalan Rektor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr Zulkifli Hasan.

Amir Hamzah, 56, kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pukul 11 pagi ini.

Amir Hamzah yang menyertai KWSP pada tahun 2021, adalah anak sulung kepada bekas Pengerusi dan Presiden Petronas, Tun Azizan Zainul Abidin.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Eksekutif KWSP, beliau mengetuai Tenaga Nasional Berhad sejak tahun 2019.

Sementara itu Prof Dr Zulkifli, yang juga bekas Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang itu dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Zulkifli memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kewangan Islam dari University of Durham, United Kingdom.

Related posts

Leave a Comment