Dr Loga pangku Presiden MyPPP

KUALA LUMPUR 19 Nov. –  Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Dr Loga Bala Mohan akan memangku jawatan presiden parti itu susulan kematian penyandangnya, Maglin Dennis D’Cruz, semalam.

Setiausaha Agung MyPPP, Inder Singh Beant Singh berkata lantikan itu berdasarkan Perkara 9.10 perlembagaan parti itu yang menetapkan bahawa naib presiden kanan akan bertindak sebagai presiden sekiranya jawatan itu kosong.

Katanya, mengikut Perkara 9.3 perlembagaan yang sama, pelantikan itu berkuat kuasa hingga perhimpunan agung diadakan bagi memilih presiden baharu.

“Dengan pemergian Maglin secara mengejut pada 17 November, Loga Bala akan memegang jawatan pemangku presiden hingga diberitahu kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maglin, bekas Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (2010) meninggal dunia tengah malam semalam pada usia 67 tahun.

Sebelum itu, ketika keluar bersama rakannya, dia ada mengadu sakit dada sebelum dibawa ke hospital dan meninggal dunia tengah malam semalam.

Mendiang pada 19 Mac lalu menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden pada pemilihan parti ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), iaitu selepas hampir lima tahun MyPPP dibatalkan pendaftaran pada Januari 2019.

Jawatan Naib Presiden Kanan disandang Loga Bala Mohan manakala  Setiausaha Agung MyPPP untuk sesi 2014 – 2019,  Mohan Kandasamy pula dilantik sebagai Naib Presiden parti.

Inder Singh dilantik menggantikan Mohan sebagai Setiausaha Agung MyPPP.

Related posts

Leave a Comment