Nak dapat peruntukan perlu sokong PM

KEMAMAN 11 Nov. – Perikatan Nasional (PN) menghentikan rundingan dengan Kerajaan Perpaduan berhubung peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang susulan syarat perlu memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

Ketua Penerangan Bersatu,  Razali Idris, berkata, rundingan sebelum ini dibuat menerusi wakil PN,  Takiyuddin Hassan, yang juga Setiausaha Agung Pas sebelum dihentikan.

“Untuk mendapat peruntukan itu, kena sokong Perdana Menteri waima apa saja rang undang-undang, keputusan yang dibuat di Parlimen nak kena sokong.

“Tapi kalau Perdana Menteri buat perkara yang bercanggah dengan prinsip parti, perjuangan parti dan undang-undang parti, mana kita boleh sokong.

Itu sebabnya kita hentikan rundingan dan ambil keputusan tidak dapat peruntukan pun tak apalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang dirasmikan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan PN, Muhammad Sanusi Md Nor, di Padang Astaka, dekat sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Annuar Musa dan Pesuruhjaya Pas Terengganu,  Husain Awang.

Razali berkata, tindakan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, jelas menawarkan sogokan secara terbuka kepada ahli Parlimen pembangkang untuk menyokongnya.

“Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mendedahkan peruntukan kawasannya diluluskan Perdana Menteri dalam tempoh tiga hari selepas mengumumkan menyokong kerajaan.

“Ini jelas menunjukkan Perdana Menteri menghalalkan sogokan dan memberi tawaran secara terbuka,” katanya.

Razali berkata, PN tidak dapat menghalang jika ada dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Kita tak boleh halang sebab itu hak individu. Saya tidak tahu siapa yang menjadi broker kerana tidak dapat gambaran yang jelas,” katanya.

Beliau berkata, ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan jelas tidak memikirkan tindakan itu mengundang kemarahan penyokong dan jentera yang mengundi mereka.

“Mereka nak suruh kita pecat tapi kita tak pecat sebab kalau pecat mereka lagi seronok. Kita gantung mereka tanpa bertali, biar ke kiri tidak ke kanan pun tidak tapi kalau mereka rasa hebat, baik letak jawatan dan serah kembali kerusi kepada rakyat.

“Biar mereka sendiri minta bertanding sama ada mewakili PKR, UMNO atau Amanah. Itu lagi bagus daripada menyakitkan hati penyokong dan pengundi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment