Annuar, Shahidan dilantik AJK Pas Pusat

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Dua orang bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO,  Shahidan Kassim dan  Annuar Musa adalah antara sembilan orang yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat semalam memutuskan pelantikan itu  berdasarkan peruntukan Fasal 25 dan Fasal 26 Perlembagaan Pas.

Setiausaha Agung Pas,  Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataannya turut memaklumkan pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Pas Negeri dan Wilayah Persekutuan.

Selain Annuar dan Shahidan, turut dilantik sebagai AJK adalah Nasrudin Hassan, Mohd Yusni Mat Piah, Wan Rohimi Wan Daud, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Datuk Dr Nik Muhammad Zawai Salleh, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Dr Mohd Mazri Yahya.

Mesyuarat turut membuat pelantikan Penolong Setiausaha Agung yang disandang Khairul Faizi Ahmad Kamil manakala Penolong Setiausaha Agung 2 Khairul Fahmi Matsom dan Penolong Setiausaha Agung 3 Mohd Syahir Che Sulaiman.

Sementara 14 Pesuruhjaya Pas Negeri dilantik iaitu Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli (Perlis), Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (Kedah), bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan).

Senator Husain Awang (Terengganu), Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua Muhammad Fauzi Yusoff (Pulau Pinang), ADUN Gunung Semanggol Razman Zakaria (Perak), ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar (Pahang).

ADUN Paya Jaras Datuk Dr Ab Halim Tamuri mengetuai Pas Selangor, Azhar Yahya (Wilayah Persekutuan), Rafiei Mustapha (Negeri Sembilan), Ahli Parlimen Jasin Zulkifli Ismail (Melaka), Abdullah Husin (Johor), Dr Aliakbar Gulasan (Sabah) dan Jofri Jaraiee (Sarawak).

Related posts

Leave a Comment