Menghadap Sultan Selangor, Sultan Perak

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, di Kuala Lumpur, hari ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, baginda turut berkongi beberapa foto.

Hantaran itu turut memaklumkan pertemuan bersama Sultan Sharafuddin dan Sultan Nazrin sebagai adat orang Melayu yang berkunjung hormat bagi menjunjung kasih, setelah selesai urusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, semalam.

Hasil mesyuarat itu, Sultan Ibrahim telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2024.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Januari tahun depan.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja semalam dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.

Related posts

Leave a Comment