Awas episod hujan lebat hingga Nov.

KUALA LUMPUR 24 Okt. – Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan perubahan cuaca, susulan jangkaan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara mulai November hingga Feb 2024.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)! Dr Fariza Yunus berkata, hujan lebat itu berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.

Katanya,perubahan cuaca itu berlaku disebabkan Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada pertengahan bulan depan hingga Mac 2024.

Semasa tempoh itu,  episod hujan lebat diramal berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula November hingga Disember, sebelum beralih ke Johor dan Sarawak pada Disember hingga Januari 2024.

Hujan lebat yang berterusan boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

“Risiko banjir juga akan meningkat sekiranya hujan lebat itu berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan Program Malaysia Petang Ini yang membincangkan “Jangkaan Corak Berisiko Bencana”, terbitan Bernama TV semalam.

Beliau berharap, orang ramai sentiasa cakna dengan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia supaya dapat melakukan persiapan termasuk menyimpan dokumen penting di tempat yang tinggi serta berpindah ke tempat selamat apabila diarahkan oleh pihak berkuasa.

Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, pemakluman mengenai permulaan MTL ini akan dikeluarkan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ia berlaku.

Related posts

Leave a Comment