Gaza: Hadi ajak umat Islam solat hajat

KUALA LUMPUR 8 Okt. –  Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam di negara ini menunaikan solat hajat, membaca doa qunut nazilah dan bermunajat untuk keselamatan umat Islam di Gaza.

Pada masa yang sama, umat Islam juga perlu mengadakan ‘Himpunan Solidariti bersama al-Quds’ sebagai bantahan terhadap tindakan zalim Israel yang merampas tanah bumi Palestin.

Langkah itu susulan serangan udara yang dilakukan Israel di di Semenanjung Gaza sehingga mengorbankan lebih 160 orang rakyat Palestin dan 931 lagi cedera hari ini.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Abdul Hadi berkata, Pas mengikuti secara dekat perkembangan pertempuran yang berlaku antara Palestin dan Israel yang bermula semalam.

“Serangan besar-besaran dilancarkan oleh Hamas dan Jihad Islami dalam ‘Operasi Taufan Al-Aqsa’ selepas berlakunya ketegangan selama beberapa minggu di sempadan Gaza-Israel,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Israel dihujani serangan roket dari Semenanjung Gaza yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Tentera Israel mendakwa, kumpulan pejuang melancarkan lebih 2,000 roket dan berpuluh-puluh pejuang Palestin menyusup ke kawasan sempadan di selatan Israel.

Susulan itu, tentera Israel melakukan ‘pembersihan’ di kawasan berpenduduk dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan pelancaran Operasi Pedang Besi terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.

Related posts

Leave a Comment