BENTONG 4 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, menyifatkan langkah kerajaan mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terbabit dalam rantaian pengedaran beras sebagai satu langkah yang ‘tidak bijak’.
Beliau berpandangan, arahan FAMA supaya terbabit dalam pengedaran beras putih tempatan (BPT) dilihat membebankan lagi peranan dan tugas agensi yang selama ini bertanggungjwab memasarkan produk agro-makanan antaranya sayur-sayuran.
Muhyiddin yang pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2008 hingga 2009 bimbang langkah itu boleh mengganggu urusan pembelian dan pembekalan sayur-sayuran oleh petani khususnya orang kampung.
“Banyak video tular hari ini (semalam), orang mesti beratur nak ambil bekalan beras. Bekalan oleh siapa? Oleh FAMA. Mana ada kerja FAMA membekal beras tuan-tuan. Ia bekalkan sayur, beli sayur dan pasarkan sayur, kelapa. Tak pernah masuk dalam senarai itu adalah beras.
“Kalau FAMA buat kerja ini sudah menjadi tanggungjawab baharu. Jadi kalau FAMA buat urusan ini maka tiap-tiap hari dia tak ada lagi hantar lori sayur semua untuk pergi Cameron Highlands sebab nak angkut beras lagi,” katanya ketika berceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Felda Chemomoi di sini, malam tadi.
Baru-baru ini, Anwar Ibrahim mengarahkan pengedaran BPT lebih proaktif terutama bagi kawasan-kawasan pedalaman sebagai usaha mengurangi kesulitan rakyat dalam mendapatkan bekalan beras.
Perdana Menteri berkata, agensi-agensi kerajaan seperti FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) perlu bertindak sedemikian sebagai agensi pengedar susulan langkah intervensi yang diumumkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa jika FAMA dipaksa memikul satu lagi tanggungjawab iaitu terbabit dalam pengedaran beras, ia akan mewujudkan masalah kepada petani lain.
“Jadi masalah kepada petani-petani yang lain. Siapa nak bekal? Siapa nak jual? Siapa nak pasarkan bekalan orang-orang kampung yang diurus menerusi bantuan dari FAMA? (Nanti) FAMA kata lori saya tak ada, pegawai saya tak ada sekarang tengah uruskan (pengedaran beras) kerana (Mohamad Sabu) suruh atur, agihkan beras di seluruh negara,” katanya.
Muhyiddin menasihati Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui oleh Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah supaya rajin turun padang bagi mendapatkan maklumat lebih jelas untuk bagaimana menangani masalah beras secara tuntas.
Katanya, kerajaan sepatutnya mengenalpasti isu akar yang mengakibatkan kekurangan bekalan beras putih tempatan dalam pasaran negara.
“Ini persoalan yang patut beliau (Mohamad Sabu) tengok kerana dia Menteri Pertanian. Pergilah turun dekat Kedah, tanya orang Kedah atau jumpa Menteri Besarnya (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor), macam mana nak buat. Kawasan tanah untuk tanaman padi sudah ada bahkan sudah diusahakan berpuluh tahun tetapi kenapa hasil merosot?.
“Kena ambil tindakan kerana ini soal tanaman beras, bukan nak tunggu sampai 10 tahun seperti tanam pokok durian musang king,” katanya.
