Bina perisai manusia lindungi keluarga

SEPANG : “Semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini” Demikian kata-kata semangat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kepada anak-anaknya ketika berlaku insiden tembakan di Siam Paragon Mall di Bangkok, Thailand.

Menerusi kemas kini di media sosial, TMJ dan pasukan keselamatan berdiri di hadapan keluarganya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku.

TMJ ketika menceritakan situasi cemas yang dilalui mereka sekeluarga apabila penembak mula melepaskan tembakan dan orang ramai mula meluru masuk ke dalam lobi hotel di mana mereka menginap bagi mendapatkan perlindungan.

Baginda berada di Bangkok untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC antara JDT dan BG Pathum United bersama keluarganya.

Menurut catatan TMJ, orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan dengan suasana sangat bising dan banyak jeritan.

“Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu. Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya,“ catat TMJ.

Pada waktu itu, mereka dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana ketika itu yang kedengaran hanya bunyi tembakan dan  tidak mempunyai maklumat lain mengenai apa yang berlaku.

“Saya masih terbayang waktu saya memberitahu anak-anak saya, “semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini” dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.

Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku.

Apa yang difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis.

Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut,” kata TMJ.

Ketika itu juga, TMJ memberitahu pasukan keselamatan untuk membawa mereka ke Kedutaan Malaysia, sebaliknya pemandu memberitahu kedudukan Kedutaan Singapura lebih dekat.

TMJ juga menghubungi Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pertahanan Malaysia untuk memaklumkan apa yang berlaku.

Walaupun terlepas perlawanan JDT tetapi TMJ bersyukur keluarga dan pasukannya selamat kembali ke Johor.

“Ini adalah pengalaman terburuk yang pernah saya lalui. Melindungi nyawa anak-anak saya daripada pembunuh. Dua orang meninggal dunia. Semoga Allah merahmati roh mereka yang tidak berdosa.

“Alhamdulillah, kami selamat. Terima kasih kepada pasukan keselamatan saya dan rakan-rakan kami dari Singapura dan Malaysia. Saya akan selamanya berterima kasih kepada anda semua,” kata catatan itu.

Related posts

Leave a Comment