J-Qaf: Radzi Jidin nafi ada kaitan syarikat

PUTRAJAYA 23 Sept. – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin menafikan terbabit dalam sebarang dakwaan berkaitan siasatan rasuah ke atas satu projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah membabitkan lebih RM80 juta.

Bagaimanapun dalam kenyataannya hari ini Ahli Parlimen Putrajaya itu mengesahkan pegawainya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes berkenaan.

“Saya tiada sebarang kaitan dengan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah sama sekali. Saya tiada sebarang kaitan dengan syarikat OTR One & Only tersebut.

“Isteri saya tiada sebarang kaitan dengan syarikat ATR One & Only tersebut. Perkara ini jelas kepada sesiapa yang sanggup membuat carian ke atas syarikat ATQ One & Only berkenaan,” katanya.

Beliau juga memberitahu, penahanan bekas setiausaha politiknya, dilakukan kononnya atas alasan bahawa beliau terlibat dalam perkara ini dan berdasarkan suatu mesej WhatsApp karut yang tular di media sosial.

“Saya menegaskan saya tidak pernah meminta atau menerima, sama ada secara terus atau melalui mana-mana orang lain, sebarang rasuah atau suapan daripada sesiapa pun sama sekali.

Jelasnya kepada saya bahawa mesej WhatsApp karut yang tular ini sedang digunakan semata-mata untuk menjejaskan reputasi dan imej saya dan untuk menindas bekas pegawai saya yang tidak bersalah,” katanya.

Beliau juga mendakwa, SPRM sedang bertindak atas arahan pihak atasan yang dipercayai dibuat kerana pernyataan-pernyataannya di Parlimen pada Selasa lalu.

“Perkara-perkara seperti mesej WhatsApp karut yang tular dan berunsur fitnah jahat tidak sepatutnya dijadikan dasar penyiasatan tanpa sebarang asas kukuh, khususnya jika pernyataan itu dibuat oleh seorang yang membuat tohmahan melulu secara berselindung.

“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya ke atas sesiapa sahaja yang mengulangi atau menerbitkan semula tuduhan-tuduhan jahat yang sama sekali tidak berasas ini. Berani kerana benar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua individu termasuk bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan ditahan SPRM kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bagi projek bernilai RM80 juta membabitkan sebuah kementerian.

Mereka ditahan pukul 11 malam tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

 

 

 

 

 

Related posts

Leave a Comment