KUALA LUMPUR 22 Feb. – Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu sebagai tanggungjawab yang amat besar, berat dan mencabar.
Naib Presiden Pas itu berkata, apa yang perlu disegerakan pada saat ini ialah pengukuhan muafakat politik, melaksanakan penambahbaikan struktur dan gerak kerja yang mampu menjadikan PN sebagai nukleus harapan rakyat.
“Tanggungjawab baharu ini amatlah besar, berat dan mencabar, terutamanya dalam suasana pengharapan yang tinggi diberikan oleh pelbagai pihak dan rakyat kepada PN, untuk menjadi muafakat politik yang mampu membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia pelbagai agama, bangsa, etnik dan latar belakang sosio ekonomi,” katanya.
Dalam kenyataannya, beliau akan berbincang dengan kepemimpinan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN untuk mengadakan mesyuarat bagi menentukan pelantikan jawatan sebagaimana keperluannya dalam Perlembagaan PN.
Menteri Besar Terengganu itu turut merakamkan ucapan terima kasih atas kepercayaan dan amanah sebagai Pengerusi PN baharu, yang diputuskan semua Presiden parti anggota PN dan MPT PN yang bermesyuarat khas pada hari ini.
“Saya turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas khidmat bakti sebagai Pengerusi PN dari mula penubuhannya, bersama seluruh kepemimpinan MPT PN yang membina PN sebagai asas muafakat politik yang dapat bergerak cemerlang sehingga mampu memenangi kerusi yang besar dalam Piihan Raya ke 15 yang lalu,” katanya.
Nnnn
