KUALA LUMPUR: Aktiviti fizikal pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) akan dimulakan minggu depan, dengan tumpuan sepenuhnya bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan.
Katanya, selepas terhenti sejak akhir tahun 2019, Kementerian Pertahanan akan memastikan LCS dapat disiapkan mengikut jadual berdasarkan kontrak tambahan keenam yang ditandatangani pada 26 Mei lalu.
Beliau berkata, untuk fasa pertama, tumpuan adalah kepada pemindahan pemilikan saham Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) kepada syarikat milikan Menteri Kewangan Diperbadankan dan rundingan penyambungan tempoh kontrak BNSSB dengan pihak pengeluar peralatan tulen (OEM) dan vendor.
“Share Sale Agreement antara Ocean Sunshine Berhad yang juga syarikat milikan penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dengan tiga pemegang saham BNSSB iaitu Boustead Holdings Berhad (69 peratus), Perstim Industries Berhad (21 peratus ) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (10 peratus) ditandatangani pada 18 Ogos lalu,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, kerajaan turut meluluskan peningkatan kos projek LCS daripada RM9.1 bilion kepada RM11.2 bilion, peningkatan RM2.1 bilion disebabkan perubahan spesifikasi bagi sistem utama iaitu Surface-to-Surface Missile (SSM), Decoy Launching System (DLS) dan Integrated Platform Management System (IPMS).
“Meskipun bilangan dikurangkan kepada lima kapal, peningkatan kos ini tidak dapat dielakkan atau dikurangkan kerana ia adalah kos berbentuk non-recurring bagi pembinaan keseluruhan kapal,” katanya.
Beliau berkata, rundingan dengan pembekal peralatan iaitu OEM dan vendor, sebanyak 57 kontrak yang dikategorikan dalam critical path dirunding dan mencapai persetujuan.
Berhubung penyiapan rekaan terperinci, beliau berkata, sehingga kini 94 peratus sudah disiapkan, manakala baki enam peratus rekaan terperinci sedang disiapkan oleh BNSSB, membabitkan zon tidak kritikal iaitu zon kapal atas permukaan air.
“Rundingan dengan Pihak Berkuasa Rekaan iaitu Naval Group France bagi kontrak rekaan terperinci dan Naval Group Malaysia bagi kontrak bantuan dan sokongan teknikal juga dimuktamadkan,” katanya.
Mohamad berkata, berkaitan alternatif supaya kapal LCS 2 dan LCS 3 disiapkan Naval Group Perancis, perkara itu pernah dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum ini, namun tidak dapat dipertimbangkan.
“Cadangan itu membabitkan kos lebih tinggi kepada kerajaan disebabkan tempoh masa yang perlu diambil bagi rundingan semula dengan kontraktor utama yang baharu (Naval Group) serta keperluan menanggung kos bagi peralatan yang dibeli dan diterima kontraktor semasa.
“Kementerian komited dan akan memastikan projek ini diteruskan mengikut kontrak dimeterai,” katanya.
