Diharam sertai sukan selepas salam atlet Israel

TEHERAN : Iran mengharamkan atlet angkat berat veteran, Mostafa Rajaei, 40, daripada menyertai acara sukan seumur hidup selepas atlet itu menyambut rakan atlet dari Israel di atas podium.

Rajaei, yang menduduki tempat kedua dalam kategorinya pada Kejohanan Angkat Berat Master Dunia 2023 di Wieliczka, Poland ketika itu berdiri di atas podium dengan bendera Iran menyelimuti badannya pada Sabtu lalu.

Manakala di atas tangga podium, berdiri Maksim Svirsky dari Israel, yang menduduki tempat ketiga.

Kedua-dua atlet itu kemudiannya berjabat tangan dan mengambil gambar bersama-sama, yang membawa kepada Persekutuan Angkat Berat Iran mengharamkan Rajaei daripada semua sukan seumur hidup.

Tindakan atlet Republik Islam Iran itu dianggap sebagai pelanggaran yang ‘tidak boleh dimaafkan’ dan Rajaei dilarang memasuki ‘semua kemudahan sukan’ sepanjang hayatnya.

Hamid Salehinia, yang mengetuai pasukan angkat berat, turut disingkirkan daripada jawatannya dan Persekutuan Angkat Berat Iran berkata jawatankuasa yang dibentuk untuk mewakili atlet angkat berat veteran juga dibubarkan.

“Selain meminta maaf kepada pemimpin revolusi, keluarga syuhada dan semua rakyat Iran, saya berjanji kita pasti tidak akan pernah menyaksikan kes seperti ini dalam keluarga angkat berat,” kata ketua Persekutuan Sajad Anoushiravani dalam satu kenyataan.

Lebih 1,000 atlet dari 47 negara menyertai kejohanan angkat berat di Krakow, Poland

Iran tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara dan melarang keras sebarang hubungan antara atlet Iran dengan Israel.

Pada 2021, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menggesa atlet supaya jangan bersalaman dengan wakil regim Israel semata-mata kerana mahu mendapatkan pingat.

Selama bertahun-tahun, atlet Iran enggan berdepan Israel dalam pertandingan dan banyak kali hilang kelayakan daripada kejohanan atau menarik diri daripada pertandingan atas alasan perubatan.

Related posts

Leave a Comment