SINGAPURA 1 Sept. – 

Selepas sembilan hari berkempen dan berakhirnya tempoh bertenang semalam, lebih 2.7 juta atau 2,709,407 pengundi akan memilih Presiden Singapura yang kesembilan mulai pukul 8 pagi sehingga 8 malam ini.
Semua warga Singapura yang layak, wajib mengundi pada Pilihan Raya Presiden 2023 dengan membawa kad pengenalan fizikal atau digital bersama kad undian fizikal atau ePoll untuk pendaftaran di pusat mengundi.
Mereka yang tidak dapat mengundi tanpa alasan yang sah tidak dibenarkan mengundi dalam pilihan raya akan datang sehingga mereka memohon mengembalikan status dalam talian melalui Singpass.
Sebanyak 1,264 pusat mengundi disediakan dan setelah pendaftaran, pengundi harus menggunakan alat cap X untuk menandakan calon pilihan mereka.
Tiga orang calon menawarkan diri iaitu mantan Ketua Pegawai Pelaburan GIC, Ng Kok Song 75, mantan Ketua Eksekutif NTUC Income, Tan Kin Lian, 75, dan mantan Menteri Kanan, Tharman Shanmugaratnam 66.
Di samping itu, seramai 6,649 warga Singapura telah mendaftar sebagai pengundi di luar negara bagi Pilihan Raya Presiden 2023 di mana lebih separuh, atau 3,432 warga, akan mengundi menerusi pos.
Baki 3,217 pengundi akan membuang undi di 10 pusat mengundi di beberapa bandar terpilih iaitu Dubai, Canberra, London, Beijing, Hong Kong, New York, San Francisco, Shanghai, Tokyo dan Washington.
Pengundi luar negara menyumbang kepada sekitar 0.25 peratus daripada 2,709,407 pengundi yang berdaftar.
Dalam pada itu, Jabatan Pilihan Raya (ELD) menolak dakwaan palsu mengenai cap-X baru yang menyatakan dakwat yang digunakan akan hilang.
ELD dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata ia sedar akan “maklumat palsu yang timbul semula dalam talian dan wadah mesej segera bahawa cap-X baru yang disediakan ELD menggunakan dakwat yang hilang”.
“ELD ingin menyatakan secara mutlak bahawa ini tidak benar. Tanda yang dibuat menggunakan cap-X adalah kekal,” kata kenyataan itu.
.
ELD menjelaskan bahawa dakwat yang digunakan bagi cap-X berasaskan minyak dan ia tahan air dan suhu.
Namun, penggunaan cap tersebut tidak wajib dan pengundi boleh membawa pen mereka sendiri untuk menandakan kertas undi.
“ELD komited memastikan keselamatan dan kerahsiaan pengundian dan telah meletakkan kawalan ketat pada setiap langkah dalam proses pengundian untuk memastikan perkara ini,” kata jabatan.
Pena-X yang mula diperkenalkan pada Pilihan Raya Umum 2020 juga bertujuan digunakan sebagai cap, tetapi sesetengah pengundi telah cuba memangkah menggunakan pena.
Pada 2020, ELD juga terpaksa menafikan dakwaan palsu pada hari mengundi bahawa Pena-X yang disediakan di pusat mengundi tidak boleh digunakan dengan betul dan akan menyebabkan banyak undian tidak sah.
Pengundian juga boleh dilakukan melalui pos bagi mereka yang tidak tinggal berhampiran pusat-pusat tersebut di luar negara.
