KUALA LUMPUR 30 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan polis telah menjalankan siasatan ke atas Dr Mahathir Mohamad berkaitan kenyataan yang berunsur penghinaan terhadap institusi diraja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam satu kenyataan semalam berkata bekas Perdana Menteri itu dirakam keterangan bagi membantu siasatan, pada 29 Ogos.
Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan ke atas Dr Mahathir berhubung kenyataan beliau yang berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja, yang disiarkan MGNews pada 6 Jun lalu.
“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman, mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
USJT turut mengambil keterangan Khairuddin Abu Hassan dan Marzuki Yahya bagi membantu siasatan.
Mohd Shuhaily berkata, kes masih pada peringkat siasatan, dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah.
“Elak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan, terutama membabitkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja),” katanya.
Terdahulu, Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali dalam satu rakaman video, memaklumkan proses siasatan ke atas Dr Mahathir dijalankan di Yayasan Albukhary selama kira-kira 30 minit bermula pukul 3 petang.
“Ia bagi merakam percakapan Dr Mahathir berkenaan pembabitannya dalam sebuah program sidang meja bulat Proklamasi Orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata, Dr Mahathir menyatakan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan menjawab semua soalan di mahkamah.
