Usah ungkit Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi

ISKANDAR PUTERI 25 Ogos – Pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara, tidak digembar-gembur dan diungkit khususnya oleh wakil-wakil masyarakat bukan Islam di negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan modul itu berkait secara langsung dengan kestabilan, kesejahteraan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama, pada masa depan.

Justeru, beliau meminta masyarakat bukan Islam memahami kepentingan pelaksanaan modul berkenaan.

“Saya harap dengan penjelasan ini tidak akan berbangkit kecurigaan dalam sistem pendidikan kita. Sebahagian tidak suka Islam diajar, sebahagian lagi gunakan Islam tetapi tidak dengan dasar ilmu.

Oleh itu, kita kena cari jalan sebenar iaitu untuk beri kefahaman Islam kepada orang Islam dan tidak paksa sesiapa (bukan Islam),” katanya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Malaysia Bersama Pimpinan Kerajaan Perpaduan Negeri Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar,  Onn Hafiz Ghazi.

Sabtu lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya akan memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang.

Menurut kenyataan berkenaan, langkah itu sebagai usaha memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam dan akan dilaksana secara rintis membabitkan guru dan murid beragama Islam di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, pelaksanaan modul itu dibuat kerana bimbang Pendidikan Islam sedia ada akan menyebabkan generasi muda mudah terpengaruh kerana tidak memahami ajaran Islam sepenuhnya.

Katanya , empat puluh hadis ulama itu sebagai asas untuk orang Islam terutama bagi anak muda menguasai dan memahami Islam dan pada masa yang sama tidak ada palsaan terhadap pelajar bukan Islam.

Beliau menjelaskan jika ilmu setakat yang ada sekarang, orang akan ingat tindakan maki hamun, cerca dan fitnah itu dianggap sebagai sebahagian daripada Islam.

“Sebab itu penyelesaian adalah mendalami ilmu Islam yang bersandar kepada Al-Quran dan kupasan ulama muktabar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment