Belum cadang sekat import makanan laut Jepun

SERDANG: Malaysia belum memutuskan untuk melaksanakan sebarang sekatan membabitkan import makanan laut dari Jepun susulan tindakan negara itu melepaskan air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata sebaliknya keputusan mengenainya hanya akan dibuat selepas keputusan kajian yang dilaksanakan beberapa pihak berkaitan diperoleh.

Katanya , sehingga kini kajian berhubung kesan pelepasan air radioaktif itu yang bermula semalam dilaksanakan bersama Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkaitan alam sekitar dan MAFS sendiri.

“Walaupun Jepun menyatakan (air) sudah dineutralisasikan, namun kita bersama dengan pihak berkaitan alam sekitar lain akan membuat kajian. Ia dibuat sebelum pendirian dan keputusan diambil bersama dengan negara lain berikutan soal sisa nuklear ini boleh merebak ke seluruh dunia.

“Sekarang ini banyak juga badan bukan kerajaan (NGO) buat kajian dan kita akan bersama dengan mereka jika kajian itu nampak bahaya kepada penduduk dunia,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian (Showtech Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI 2023), di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Mohamad turut melancarkan tiga varieti bawang merah MARDI iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3.

Jepun walaupun mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara serta Hong Kong, namun negara itu kekal dengan pendirian menyifatkan tindakan melepaskan air radioaktif, adalah selamat.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai lalu menyatakan ia mematuhi piawaian antarabangsa, selain menjelaskan kesannya terhadap manusia dan alam sekitar adalah ‘sedikit’.

Sementara itu, Mohamad berkata, negara yakin dapat mengurangkan kebergantungan terhadap import bawang dengan pengenalan tiga varieti terbabit.

Katanya, MARDI kini juga sedang melaksanakan projek perintis penanaman bawang di Perak yang akan dijadikan hab selepas ia diperluas, dijangka tahun depan.

Mengenai beras, Mohamad berkata, MAFS memberi tumpuan dalam memastikan bekalan bahan itu mencukupi di negara ini susulan negara luar antaranya India dan Vietnam memberi amaran awal untuk menghentikan eksport termasuk ke Malaysia.

“Sehingga kini tahap kebergantungan kepada beras import adalah 35 peratus di negara ini dan kita perlu capai hasil sebanyak tujuh tan sehektar untuk mendapatkan sasaran Tahap Sara Diri (SSL),” katanya.

Kedah dan Perlis mencapai rekod 11.4 tan sehektar bagi beras dengan adanya inovasi membabitkan mesin yang mengurangkan tumpahan (ketika proses) sebanyak dua peratus.

Negara juga sedang mengusahakan pangkalan data nasional secara lengkap bagi mengenalpasti semua aspek berkaitan bekalan sumber makanan secara bersepadu.

Related posts

Leave a Comment