UMNO terus lemah jika ‘dibiarkan’

SELEPAS lapan bulan menyaksikan Barisan Nasional (BN) mencatatkan prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, UMNO dimalukan lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila gagal memenangi kerusi di Kedah dan Terengganu.

Hanya di Negeri Sembilan, UMNO mampu menyerlah dengan memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala di Pulau Pinang dan Selangor masing-masing menang dua kerusi dan satu lagi kerusi di Kelantan.

Jika dikira jumlah kalah, UMNO tewas 30 kerusi di Kelantan, semua 27 kerusi di Terengganu kecundang, di Kedah kalah semua 15 kerusi, di Selangor 10 calonnya tewas, Pulau Pinang pula empat dan tiga lagi kalah di Negeri Sembilan.

Ini bermakna UMNO hanya menang 19 daripada 108 calon yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dan jika diambil jumlah keseluruhan BN khususnya UMNO menang 19 daripada 245 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Ini berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang menang 146 daripada 245 manakala Pakatan Harapan (PH) menang 80.

Beberapa nama besar UMNO juga tewas termasuk Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu Ahmad Said, Pengerusi Perhubungan Kedah Mahdzir Khalid dan Pengerusi Perhubungan Selangor Megat Zulkarnain Omardin.

Selak juga prestasi UMNO atau BN pada PRU15 lalu apabila tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Kelantan dan Terengganu. BN hanya menang 30 kerusi Parlimen, berbanding 54 pada PRU14.

Keputusan semalam sememangnya tidak memberangsangkan berbeza dengan keyakinan mereka sebelum ini untuk menang di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Mengambil contoh di Selangor, Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN sebelum ini yakin memenangi kesemua 12 kerusi yang ditandingi di negeri itu dan menolak dakwaan kononnya BN hanya mampu menang lima atau enam kerusi.

Apakah punca kekalahan ini? Melihat kempen besar-besaran dengan pelbagai kemudahan serta janji yang ditaburkan kepada pengundi, kenapa masih ada ruang untuk UMNO kecundang sebagai rakan Kerajaan Perpaduan?

Adakah rakyat belum dapat menerima Kerajaan Perpaduan dan UMNO pula belum  memahami mesej yang diberikan rakyat atau pengundi?

Kesempatan bertemu dan bercakap dengan beberapa orang pengundi menjelang PRN di Pulau Pinang, rata-ratanya ketika diajukan siapa pilihan mereka, khususnya melibatkan calon UMNO-PN, mereka memilih PN.

Tidak lagi merahsiakan pilihan mereka yang akan diterjemahkan di kertas undi. Mereka ini sudah membuat keputusan lebih awal siapa calon pilihan.

Alasan yang diberi, pertamanya, mereka masih ‘berpegang’ kepada keputusan “No Anwar No DAP No Bersatu” di Perhimpunan Agung UMNO sedangkan pendirian itu sudah ‘dikuburkan’ selepas membentuk Kerajaan Perpaduan.

Kedua, rata-rata tidak setuju kerjasama dengan PH yang ada bersama DAP sedangkan semasa kempen PRU15, mereka ini saling memburukkan sesama sendiri serta menafikan pelbagai khabar termasuk kerjasama PH-UMNO.

Mereka sedar semua itu politik tetapi yang faham ‘muslihat’ politik ini hanya dalam kalangan anggota parti dan pemimpin yang mungkin selesa dengan langkah yang diambil pimpinan UMNO untuk bersama PH.

Dalam hal ini, peranan pemimpin di bawah amat penting untuk meyakinkan akar umbi tentang pilihan yang dibuat untuk bersama Anwar dan DAP. Hakikatnya bukan mudah untuk memulihkan pemikiran yang selama ini ‘sudah diracuni’ parti sendiri.

Orang politik mungkin ‘pelakon’ terbaik di pentas yang boleh melakonkan pelbagai watak tetapi pengundi atau penyokong di luar UMNO malahan anggota parti mungkin tidak sama dengan aliran pemikiran mereka.

Justeru sesuatu harus dilakukan untuk mencari jawapan kenapa UMNO terus ditolak oleh orang Melayu yang beralih untuk memilih PN yang menggabungkan Pas, Bersatu dan Gerakan. Mustahil UMNO tidak tahu punca ditolak.

Ketika UMNO bimbang untuk bersama Bersatu yang dikatakan mahu ‘membunuh’ parti itu, tidak mustahil UMNO lama kelamaan akan terus lemah disebabkan pendirian berterusan pengundi sama ada anggota parti atau yang atas pagar.

Tidak mustahil jika langkah-langkah sewajarnya tidak diambil, UMNO boleh berakhir begitu sahaja tanpa perlu bersama Bersatu. Ingatlah sejarah membuktikan bahawa UMNO diharamkan atau dimatikan disebabkan angkara ‘orang dalam’  sendiri.

Untuk rekod UMNO diisyhtiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari, 1988 berpunca daripada tindakan mahkamah oleh sekumpulan ahli-ahli UMNO yang dikenali Kumpulan 11.

Benar ketika ini masalah parti tidak boleh dibawa ke mahkamah tetapi apabila ahli atau pengundi bertindak sebagai hakim untuk menghukum, maka lambat laun kekuatan UMNO akan terus lemah dan sukar untuk bangkit semula.

Ketika ada yang tetap berkata masih sayangkan UMNO tetapi bertindak sebaliknya kerana ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’ UMNO perlu melakukan sesuatu berdasarkan dua keputusan PRU dan PRN. Melainkan jika UMNO eksklusif untuk pemimpin dan ahlinya sahaja.

Related posts

Leave a Comment