KUALA TERENGGANU 25 Julai – Puteri UMNO akan menggerakkan jentera pilihan raya membabitkan lebih 4,500 ahli di semua kerusi ditandingi calon Barisan Nasional (BN) di enam negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi, berkata, jentera pilihan raya kalangan puteri melibatkan antara 500 dan 700 orang setiap negeri, tidak termasuk jentera daripada cawangan.
Katanya, Puteri berlapang dada walaupun hanya satu kerusi diperuntukkan kepada calon daripada pergerakan itu iaitu Ketua Puteri UMNO Kedah, Nuraini Yusoff yang akan bertanding di DUN Bandar Baharu Kulim, Kedah.
“Walaupun hanya satu kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) akan ditandingi calon daripada Puteri, kita tidak kecewa. Puteri mengaktifkan jentera bagi memastikan kemenangan kerusi ditandingi calon BN,” katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya peringkat Terengganu, semalam.
Majlis perasmian dilancarkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dr Ahmad Said.
Nurul Amal berkata, Puteri UMNO menggunakan pendekatan menolak kebencian, sebaliknya memilih jalan perpaduan ketika berkempen membantu calon BN.
Katanya, slogan menolak kebencian dan memilih perpaduan akan digunakan jentera ketika berkempen terutama membabitkan golongan muda selepas penamaan calon Sabtu ini.
“Selain menggunakan kaedah menemui pengundi secara bersemuka dengan pengundi, kita juga akan menggunakan media sosial termasuk TikTok untuk berkempen,” katanya.
