Muda tanding 20 kerusi di 4 negeri

PETALING JAYA 22 Julai – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memuktamadkan penyertaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menurunkan 20 calon untuk bertanding di empat negeri pada 12 Ogos ini.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu meletakkan 14 calon di Selangor, tiga di Pulau Pinang, dua di Negeri Sembilan dan seorang lagi di Terengganu.

“Ini adalah barisan calon kami, muda dan bertenaga, golongan profesional… 50 peratus adalah wanita,” katanya pada sidang media pengumuman 10 lagi calon Muda di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muda mengumumkan enam calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor iaitu Timbalan Ketua Biro Mahasiswa dalam Jawatankuasa Eksekutif Muda Selangor Aida Nazeera Abd Rahman (DUN Taman Templer); Timbalan Ketua Parlimen Muda Bandar Tun Razak Noor Faralisa Redzuan (Pandan Indah) serta ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat iaitu Abe Lim (Bandar Utama).

Turut sama usahawan T. Kalyana Rajasekaran (Bukit Gasing), Ketua Parlimen Muda Klang Azad Akhbar Khan (Kota Anggerik) dan Setiausaha Muda Selangor Zayd Shaukat Ali (Subang Jaya).

Di Pulau Pinang, Muda mencalonkan Pengerusi Pertubuhan Mendidik Komuniti dan Juruaudit bagi Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Pulau Pinang H. Vikneswary sebagai calon DUN Perai serta peguam Lee Kim Noor (Batu Uban).

Muda juga turut bertanding di Negeri Sembilan dengan mencalonkan Ketua Biro Mobilisasi Muda Negeri Sembilan Ahmad Qusyairi Abdull Rahman di DUN Temiang dan pempengaruh media sosial Muhammad Noriswan Ishak atau lebih dikenali sebagai ‘Dak Ayam Kahau’ (Repah).

Related posts

Leave a Comment