Kerjasama Pemadam cegah dadah

PUTRAJAYA 13 Julai – Kementerian Perpaduan Negara, akan bekerjasama dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia,( Pemadam) dalam usaha memberi penerangan kepada masyarakat berhubung masalah dadah.

Menterinya, Aaron Ago Dagang berkata, pihak Kementerian memandang berat masalah dadah yang berlaku di negara ini.

Katanya, pencegahan amat penting dan Kementerian melalui agensinya yang ada akan bekerjasama dengan Pemadam dalam usaha menyedarkan masyarakat tentang bahaya dadah kepada diri, keluarga dan negara.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pemadam yang diketuai Pengerusi Wanita Pemadam Kebangsaan,  Jamelah A. Bakar kelmarin.

Jamelah dan rakan-rakan strategik Pemadam melakukan kunjungan itu bagi menerangkan pentingnya usaha pencegahan dadah yang bermula dari rokok, vape dan inhalan khususnya melibatkan generasi muda.

Menurut Jamelah, Pemadam sejak awal lagi telah menyatakan sokongan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

“Menteri amat memahami tentang RUU ini malah ketika menjadi Timbalan Menteri Kesihatan, beliau terlibat dan memahami isu ini demi masa depan kesihatan yang baik khususnya untuk generasi muda bebas dari merokok,” katanya.

Jamelah berkata, menteri sedar dadah adalah masalah semua kaum dan beberapa isu lain berkaitan dadah termasuk negara sebagai transit yang semuanya itu memerlukan tindakan pencegahan.

 

Related posts

Leave a Comment