Abdul Hadi terima rawatan

SEPANG 1 Julai – Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan dan pemantauan doktor, kata anak sulungnya, Muhammad Khalil.

Melalui hantaran di Facebooknya hari ini, Muhammad Khalil turut meminta orang ramai berdoa dan melakukan solat hajat untuk kesembuhan.

Bagaimanapun tidak dinyatakan di mana Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendapatkan rawatan.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu berkata, Abdul Hadi sudah kelihatan uzur ketika pelancaran jentera pilihan raya Dewan Pemuda Pas Negeri (DPPN), baru-baru ini.

“Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru. Kesihatan Ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital.

Malah kehadiran Ayahanda ke pelancaran jentera pilihanraya DPPN Terengganu tempoh hari sudah pun dalam keadaan keuzuran, namun tetap digagahkan dirinya.

“Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua,” katanya.

Pada Februari tahun lalu, Abdul Hadi pernah dimasukkan ke hospital, dipercayai akibat sesak nafas.

Beliau ketika itu dimasukkan ke Hospital Putrajaya selepas dilaporkan sesak nafas sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Related posts

Leave a Comment