Kerajaan baharu Thailand bulan depan

BANGKOK: Proses pembentukan kerajaan baharu Thailand dijangka berlangsung bulan depan apabila anggota Parlimen yang memenangi pilihan raya baru-baru ini akan bersidang buat kali pertama pada 3 Julai ini.

Satu perintah diraja berhubung sidang itu diterbitkan dalam portal rasmi gazet diraja, semalam.

Perintah itu menandakan permulaan pembentukan kerajaan baharu Thailand selepas berakhirnya pilihan raya pada Mei lalu, dengan undian untuk melantik Perdana Menteri baharu dijangka diadakan bulan depan.

Sebelum ini pada Isnin lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand mengesahkan kemenangan di semua 500 kerusi Dewan Rakyat, yang perlu bersidang dalam tempoh awal bulan depan untuk melantik speaker dan dua timbalannya.

Speaker Dewan Rakyat itu kemudian akan memanggil satu sesi bersama Parlimen antara ahli Dewan Rakyat dan ahli Senat untuk menjalankan undian memilih Perdana Menteri yang baharu.

Pada pilihan raya 14 Mei lalu, Parti Move Forward mencatatkan kemenangan luar biasa diekori rapat oleh parti Pheu Thai, menewaskan parti lawan yang juga sekutu tentera diraja selepas sembilan tahun Thailand diperintah kerajaan pimpinan atau disokong tentera.

Gabungan lapan parti yang menjadi pembangkang sebelum ini dijangka menyokong pemimpin lulusan Harvard daripada Parti Move Forward, Pita Limjaroenrat sebagai Perdana Menteri dan membentuk kerajaan.

Gabungan itu memiliki 321 kerusi, dan memerlukan sekurang-kurangnya 376 kerusi untuk menang undian memilih Perdana Menteri.

Untuk melantik Pita sebagai Perdana Menteri Thailand, gabungan itu memerlukan majoriti daripada 500 kerusi Dewan Rakyat dan 250 kerusi Senat, namun ahli senator sedia ada dilantik ketika pentadbiran tentera selepas rampasan kuasa pada 2014.

Parti Move Forward menang pilihan raya menerusi platform antipentadbiran, sekali gus bertentangan dengan jeneral tentera konservatif dan elit perniagaan lama yang mengawal politik Thailand sejak sekian lama.

Related posts

Leave a Comment