Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR 23 Jun –  Mulai tahun ini, kerajaan akan membangunkan Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan untuk golongan M40, B40 dan rentan miskin di mana golongan ini akan tinggal dalam satu kawasan kejiranan sama.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan demikian berkata, kelompok sasar terbabit akan tinggal dalam persekitaran yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.

Beliau berkata, pembangunan Kejiranan Madani itu bukan hanya membabitkan kediaman untuk dijual, tetapi juga untuk disewa yang akan ditawarkan mengikut kategori pendapatan.

Katanya, kejiranan itu melibatkan beberapa komponen iaitu Residensi Prihatin Madani, Residensi Madani dan Residensi Sejahtera Madani.

Residensi Prihatin Madani adalah bagi golongan M40 yang berpendapatan isi rumah RM7,000 sebulan ke bawah, dengan unit ditawarkan berkeluasan 800 kaki persegi dan nilai jualan RM200,000.

Manakala Residensi Madani pula ditawarkan bagi golongan B40 berpendapatan isi rumah RM5,000 ke bawah, membabitkan unit berkeluasan 750 kaki persegi dan nilai jualan RM180,000.

“Bagi yang berpendapatan RM4,000 ke bawah, khas untuk golongan bujang atau belia dan pasangan yang baharu berkahwin serta berusia 30 tahun ke bawah, akan ditawarkan Residensi Sejahtera Madani, dengan harga RM150,000 dan keluasan 700 kaki persegi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Mesra Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan perasmian tempat letak kereta Taman Tasik Metropolitan Kepong di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur,  Kamarulzaman Mat Saleh.

Perdana Menteri berkata, bagi kumpulan berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli rumah untuk didiami, terdapat dua skim akan ditawarkan bagi membolehkan mereka menyewa kediaman di bawah Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan.

Ia membabitkan Rumah Majlis Madani untuk golongan M40 dan B40 dengan kadar sewa dikenakan adalah RM600 sebulan untuk lima tahun dan Rumah Ihsan Madani bagi golongan B40 serta rentan miskin, dengan kadar sewa RM300 sebulan, juga untuk lima tahun.

Related posts

Leave a Comment