SEPANG: Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Keputusan mesyuarat Majlis Presiden PN petang ini melibatkan 36 kerusi di Kedah, diikuti Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), 56 kerusi di Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).
Menurut kenyataan PN, jumlah kerusi yang bakal ditandingi oleh Bersatu ialah 83 kerusi, Pas 126 kerusi dan Gerakan 36 kerusi.
“Jumlah kerusi baharu bukan incumbent yang bakal ditandingi oleh Anggota Parti Perikatan Nasional iaitu Bersatu sejumlah 64 kerusi, Pas sejumlah 50 kerusi, dan Gerakan sejumlah 36 kerusi,” kata kenyataan itu.
Mesyuarat dihadiri Presiden-Presiden Parti Komponen PN iaitu YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.
Turut hadir beberapa pimpinan utama PN termasuk seperti YB Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Dr Radzi Jidin, Datuk Seri Seri Azmin Ali, dan Datuk Idris Ahmad .
PN juga memaklumkan Jentera Pilihan Raya PN di peringkat negeri ketika ini adalah di tahap tertinggi dan komited dalam gerak kerja menghadapi PRN seterusnya mempertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah dan menawan 3 negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“Perikatan Nasional komited untuk menjunjung keluhuran perlembagaan, membela kebajikan rakyat dan memacu kemajuan ekonomi menerusi pembentukan kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil,” kata kenyataan itu.
