Keahlian UMNO catat peningkatan

KUALA LUMPUR 9 Jun – Pertambahan 13,442 ahli baharu UMNO, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, menunjukkan UMNO terus mendapat sokongan dan ramai ingin menyertai parti itu, kata Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, sehingga 6 Jun lalu, parti itu mencatatkan seramai 3.44 juta ahli, merangkumi 22,125 cawangan dari 191 bahagian di seluruh negara.

“Daripada jumlah keahlian baharu yang mendaftar pada tahun ini, sebanyak 8,876 orang atau 66 peratus adalah mereka yang berusia 18 tahun hingga 30 tahun.

Saya mengucapkan tahniah kepada Puteri UMNO atas pertambahan keahlian seramai 4,957 ahli baharu, hanya dalam tempoh dua bulan.

“Ini adalah satu petunjuk positif yang parti kita masih ada pendukungnya, masih ramai yang ingin turut serta dan UMNO parti yang sentiasa terbuka,” katanya ketika menyampaikan laporan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, empat negeri yang mencatatkan jumlah ahli teramai ialah Sabah, dengan 604,328 orang, diikuti Johor (455,125), Selangor (432,030) dan Kedah (302,939 orang).

Lima bahagian yang mencatatkan jumlah ahli teramai ialah tiga bahagian dari Sabah, iaitu Lahad Datu, Libaran dan Semporna; bahagian Gombak di Selangor dan Baling di Kedah.

Beliau berharap fokus dan komitmen diberikan seluruh kepemimpinan bahagian adalah untuk memastikan mereka menjadi pengundi parti dan membina idealisme, memahami hakikat perjuangan sebenar UMNO.

“Ramainya ahli ini tidak akan bermakna jika tidak dapat digemblengkan usaha menggerakkan mereka untuk bersama dengan agenda parti dan diterjemahkan ke dalam kertas undi,” katanya.

Beliau juga berharap PAU yang pertama selepas pemilihan UMNO pada Mac lalu, menjadi medan untuk ahli berkongsi pandangan, menyuntik kefahaman dan mencari pendekatan baharu untuk meraih dan mengembalikan sokongan serta keyakinan.

Related posts

Leave a Comment