DAP jemput Pas sertai Kerajaan Perpaduan?

SEPANG 30 Mei – Isu siapa undang Pas sertai kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar ibrahim semakin menarik perhatian apabila Ketua Penerangan Pas, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin ‘menamakan DAP”.

Pada masa yang sama, beliau membidas kenyataan Presiden UMNO, Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan Presiden Pas Abdul Hadi Awang ‘jangan nak perasan’ berhubung pelawaan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, Presiden  UMNO itu tidak ‘buat homework’ dalam menjawab isu ini.

“Hakikatnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput Pas menyertai Kerajaan Perpaduan kerana kedudukan kerajaan amat genting ketika ini dan UMNO tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu.

Zahid perlu berhenti dari menipu dan terus menipu ahli UMNO mahupun rakyat. Penipuan terbesarnya adalah propaganda tidak bersama DAP dan Anwar tetapi akhirnya bersama parti yang dibenci ahli UMNO sejak sekian lama,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerantut berkata, Perikatan Nasional (PN) akan terus mengatur langkah bersiap sedia sebagai kerajaan yang lebih profesional dan prihatin mendengar keluhan rakyat berbanding kerajaan porak peranda PH-BN.

Baru-baru ini, Abdul Hadi mendakwa ada beberapa orang (kerajaan) menghubunginya dan ajak berjumpa untuk menawarkan Pas supaya menyertai Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Susulan ini pemimpin UMNO dan PKR menafikan dakwaan itu dan hari ini, Perdana Menteri juga menyatakan tidak tahu mengenai dakwaan Abdul Hadi.

Bagaimanapun, Kit Siang dalam kenyataannya semalam mempersoalkan apakah yang difikirkan Hadi apabila mendakwa Pas ditawarkan peluang untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Katanya, Hadi telah dicabar oleh seorang ahli Majlis Tertinggi UMNO untuk mendedahkan identiti individu yang membuat tawaran itu.

“Saya tidak terkejut sekiranya Hadi gagal mendedahkan identiti ini kerana individu itu  tidak wujud, sama seperti Hadi gagal memberikan bukti untuk pelbagai tuduhan liar dan tidak masuk akal yang dibuat terhadap DAP dan saya sebelum ini,” katanya

Kit Siang berkata, agak memalukan apabila Hadi diberitahu Presiden UMNO,  untuk berhenti berangan mengenai ‘tawaran’ itu.

“Hadi menegaskan yang Pas patut diberikan peranan dominan memandangkan mereka mempunyai jumlah kerusi terbanyak dari kalangan semua parti. Adakah Hadi hendak menjadi Perdana Menteri?,” katanya.

Dalam hal ini, Kit Siang mendakwa, Hadi tidak jujur dalam cubaan menyertai Kerajaan Perpaduan kerana dia lebih berminat dengan dominasi Pas, bukannya perpaduan.

Kit Siang juga bertanya adakah Hadi tersilap baca cadangannya untuk Pas bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan  bagi menyelesaikan masalah-masalah yang berlanjutan di Kelantan, Terengganu, dan Kedah sebagai satu jemputan rasmi untuk Hadi atau Pas menyertai Kerajaan Perpaduan Anwar?

“Tidak mungkin Hadi tidak sedar mengenai perkara ini adalah idea peribadi saya, bukannya cadangan DAP atau Kerajaan Perpaduan Anwar kerana saya tidak berbincang mengenai perkara ini dengan Setiausaha Agung DAP atau mana-mana pemimpin DAP, apatah lagi dengan pemimpin atau menteri kerajaan,” katanya…

Kit Siang berkata walaupun beliau menyokong idea untuk Pas menyertai kerajaan, Pas perlu menunjukkan yang mereka bersedia untuk menunjukkan perubahan dengan menyokong titah Yang di Pertuan Agong yang menyeru supaya adanya kestabilan politik dan perpaduan nasional dalam negara.

“Sebagai permulaan, adakah Hadi bersedia menarik semula dan memohon maaf untuk pelbagai tuduhan liarnya sebelum ini yang dibuat terhadap DAP dan saya?

Kedua, adakah Ahli-ahli Parlimen Pas akan menunjukkan yang mereka akan berhenti memainkan isu-isu perkauman dan keagamaan dan sebaliknya menjadi contoh tauladan sebagai Ahli Parlimen yang menyokong kestabilan politik dan perpaduan nasional?

Ketiga, adakah Pas akan menyokong matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia?,” katanya.

Related posts

Leave a Comment